Jalur Gemilang
Berita :
Terengganu Perkukuh Pembangunan Bakat TVET, Sedia Tenaga Kerja Mahir Sektor OGSE
Terengganu Perkukuh Pembangunan Bakat TVET, Sedia Tenaga Kerja Mahir Sektor OGSE
Mastura Jamal Din
9 jam yang lepas
76

DUNGUN, 23 November – Terengganu terus memperkukuh peranannya sebagai antara negeri peneraju pembangunan bakat berkemahiran apabila menjadi lokasi peluasan inisiatif VISTA i-plus PETRONAS ke Pantai Timur bagi memenuhi keperluan tenaga kerja dalam sektor perkhidmatan minyak, gas dan tenaga (OGSE).

Peluasan menerusi VISTA i-plus Engagement Network (VEN) itu membuka ruang kerjasama lebih erat antara kerajaan negeri, pemain industri, agensi kerajaan dan institusi latihan dalam memastikan pembangunan bakat tempatan selari dengan keperluan sebenar industri.

Penganjuran di Paka itu merupakan edisi sulung VEN di Pantai Timur dan peluasan pertama inisiatif berkenaan ke luar wilayah selatan, sekali gus meletakkan Terengganu sebagai platform penting dalam memperkukuh ekosistem pembangunan tenaga kerja berkemahiran di wilayah berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (T-HRDC), Aminudin Omar berkata, kerjasama strategik berkenaan penting dalam memperluas peluang pembangunan kemahiran serta meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja, khususnya graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Beliau berkata, usaha itu bukan sahaja melibatkan penyediaan latihan, malah merangkumi pendedahan kepada persekitaran pekerjaan sebenar, latihan industri dan peluang pembelajaran berasaskan pekerjaan.

Katanya, pendekatan berkenaan mampu membantu graduan TVET memperoleh gambaran lebih jelas mengenai keperluan industri, selain menyediakan laluan kerjaya yang lebih tersusun untuk mereka memasuki pasaran pekerjaan.

“Usaha berkenaan memerlukan komitmen bersama semua pihak untuk menyelaraskan inisiatif, berkongsi tanggungjawab dan memastikan perbincangan yang dijalankan diterjemahkan kepada tindakan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran VEN Pantai Timur di Paka.

Sementara itu, Presiden Majlis Perkhidmatan Minyak, Gas dan Tenaga Malaysia (MOGSC), Zahris Sham Abu Musa berkata, pemain industri mempunyai peranan penting dalam mengenal pasti keperluan tenaga kerja masa hadapan serta membentuk kandungan latihan yang memenuhi kehendak sektor berkenaan.

Menurutnya, penglibatan langsung industri dalam pembangunan bakat penting bagi memastikan kemahiran yang diperoleh tenaga kerja benar-benar menepati keperluan majikan.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Kanan Pendidikan dan Pelaburan Modal Insan PETRONAS, Akmal Niza Ahmad berkata, perubahan pesat landskap tenaga kerja memerlukan kerjasama lebih erat antara industri, kerajaan dan institusi latihan bagi membangunkan kumpulan bakat yang bersedia menghadapi keperluan masa hadapan.

Katanya, peluasan VEN ke Pantai Timur mencerminkan komitmen PETRONAS untuk memperkukuh ekosistem pembangunan bakat di peringkat wilayah, selain memastikan latihan TVET terus relevan dengan perubahan keperluan industri.

Beliau berkata, fokus VISTA i-plus bukan sekadar melahirkan tenaga kerja mahir, sebaliknya membina kerjasama lebih kukuh bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan, kemampanan tenaga kerja dan daya saing industri.

VISTA i-plus merupakan inisiatif diterajui industri yang bertujuan meningkatkan kesediaan dan kebolehpasaran bakat TVET, khususnya bagi memenuhi keperluan sektor OGSE.

Berdasarkan perkembangan pelaksanaan projek rintis di wilayah selatan pada 2025, rakan kerjasama VISTA i-plus merancang meneruskan usaha memperluas program berkenaan ke lebih banyak wilayah di Malaysia menerusi pelan peluasan selama tiga tahun.

Pelan itu memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama antara pemain industri, agensi kerajaan dan institusi latihan bagi memastikan pembangunan tenaga kerja TVET lebih tersusun, menyeluruh dan memenuhi permintaan pasaran.

Bagi Terengganu, peluasan inisiatif berkenaan membuka peluang untuk memperkukuh pembangunan modal insan tempatan, meningkatkan akses graduan kepada peluang pekerjaan serta memastikan anak negeri mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk terus bersaing dalam industri minyak, gas dan tenaga.

 


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan