• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

163 Banduan Dilepaskan Secara Berlesen Sempena Aidilfitri

MARANG, 7 April -  Program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) Ihsan Madani (Kepulangan Yang Dinanti) Sempena Hari Raya Aidilfitri 2024 membawa makna besar kepada 163 banduan dari Penjara Marang, hari ini.

Pengarah Penjara Terengganu,  Penolong Kanan Komisioner Hamid Taha berkata, pembebasan itu bagi mencipta peluang kedua kepada mereka untuk berubah sebelum dibebaskan mengikut tempoh sebenar hukuman berakhir.

"Kesemua banduan yang dilepaskan adalah mereka yang melakukan kesalahan- kesalahan kecil seperti mencuri di kedai runcit, menceroboh kawasan larangan dan memiliki dadah (jumlah yang kecil).

"Mereka juga akan terus dipantau dan perlu melaporkan diri mengikut jadual yang ditetapkan oleh pihak penjara.

"Kita berharap kesemua mereka akan memanfaatkan pembebasan ini dengan penuh keinsafan dan kesyukuran untuk menjadi insan yang lebih baik pada masa akan datang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, salah satu komitmen Jabatan Penjara yang bukan sahaja untuk memberi peluang kepada banduan menyambut perayaan bersama keluarga tetapi membuka ruang bagi mereka mendapatkan pekerjaan.

"Kebanyakan mereka diterima masuk untuk bekerja dalam bidang perkilangan, perladangan, penternakan dan produk pembuatan makanan haiwan.

"Gaji mereka sama sahaja dengan pekerja di luar iaitu tidak kurang dari RM1,500 sebulan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, semua banduan yang masih berada dalam penjara akan diberi kebenaran untuk berjumpa keluarga mereka pada hari raya ketiga Aidilfitri nanti.

"Semoga pertemuan itu nanti dapat meleraikan kerinduan masing-masing dan tanda kesediaan keluarga untuk menerima kepulangan banduan selepas hukuman berakhir," katanya.

Program PBSL ini merupakan antara komitmen Jabatan Penjara Malaysia dalam memperkasakan Pemulihan Dalam Komuniti dan merupakan langkah untuk pengintegrasian semula penghuni di dalam masyarakat dan kesesakan dalam penjara.