Berita :
166 Anak Yatim DUN Paka Terima Bantuan
166 Anak Yatim DUN Paka Terima Bantuan
Amiirullah Mansor
10 Mar 26
55

DUNGUN, 16 Mac – Seramai 166 anak yatim daripada 101 keluarga dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka menerima bantuan berbentuk baucar dan wang saku sempena persiapan sesi persekolahan baharu serta sambutan Hari Raya Aidilfitri dalam satu program kebajikan yang berlangsung di Darul Aitam Paka. 

Program tahunan itu diadakan sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan anak-anak Darul Aitam serta bagi membantu meringankan beban keluarga yang berdepan peningkatan kos sara hidup. 

Mengulas lanjut, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat berkata, walaupun sumbangan yang diberikan tidaklah terlalu besar, namun ia merupakan usaha bersama masyarakat untuk terus berkongsi rezeki dan memberi sokongan kepada golongan yang memerlukan. 

“Pada hari ini seramai 166 orang anak yatim daripada 101 keluarga menerima baucar bernilai RM150 serta wang saku RM100 sebagai sedikit bantuan menjelang sesi persekolahan dan juga sambutan Aidilfitri,” katanya ketika berucap dalam program tersebut. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri Darul Aitam di Pasaraya Ten Ten Paka.

Menurut beliau, kawasan Paka yang terkenal sebagai kawasan industri khususnya dalam sektor minyak dan gas secara tidak langsung memberi kesan kepada kos sara hidup masyarakat setempat. 

“Persekitaran ini menyebabkan kos sara hidup di kawasan kita agak tinggi. Harga barangan keperluan, sewa rumah serta kos harian semakin meningkat, dan keadaan ini tentunya lebih terasa bagi keluarga yang kehilangan tulang belakang keluarga seperti ayah atau suami,” ujarnya. 

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para ibu yang cekal membesarkan anak-anak walaupun berdepan pelbagai cabaran kehidupan. 

“Dalam keadaan ini para ibu memainkan peranan yang sangat besar. Mereka bukan sahaja menjadi ibu, malah terpaksa memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga. 

“Saya ingin merakamkan penghargaan yang tinggi kepada para ibu yang terus kuat dan tabah membesarkan anak-anak dalam keadaan penuh cabaran ini,” katanya. 

Dalam masa sama beliau menegaskan bahawa pendidikan merupakan jalan terbaik untuk mengubah kehidupan anak-anak pada masa hadapan. 

“Saya percaya anak-anak Darul Aitam ini mampu bangkit dan membina masa depan yang lebih baik. Antara jalan paling penting untuk mengubah kehidupan ialah melalui pendidikan,” jelasnya. 

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian terhadap aspek pendidikan bagi memastikan anak-anak Terengganu tidak tercicir daripada melanjutkan pelajaran. 

“Alhamdulillah sejak tahun 2018 keputusan peperiksaan utama seperti SPM, STPM dan STAM menunjukkan pencapaian yang sangat membanggakan dan antara yang terbaik di negara ini. 

“Kerajaan negeri juga menyediakan pelbagai bentuk bantuan kewangan melalui Yayasan Terengganu, Yayasan Pendidikan MAIDAM serta pelbagai inisiatif lain khususnya untuk golongan B40,” katanya lagi. 

Menurut beliau, sebelum ini kerajaan negeri menyediakan kira-kira RM5 juta bagi biasiswa dan RM10 juta bagi pinjaman pendidikan. 

“Bermula tahun ini dengan sokongan daripada syarikat milik kerajaan negeri (GLC), tambahan RM1 juta disumbangkan bagi dana biasiswa dan kerajaan negeri menambah lagi RM2 juta menjadikan keseluruhan RM7 juta untuk biasiswa di samping RM10 juta untuk pinjaman pendidikan. 

“Ini bermakna kita berusaha memastikan tiada anak Terengganu yang tercicir daripada menyambung pengajian hanya kerana masalah kewangan,” katanya. 

Sehubungan itu beliau menasihatkan anak-anak supaya belajar bersungguh-sungguh serta memanfaatkan peluang yang disediakan. 

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak Darul Aitam, para penyumbang serta sukarelawan yang sentiasa membantu komuniti setempat. 

“Pusat Khidmat Masyarakat akan terus menyokong usaha-usaha kebajikan seperti ini demi kesejahteraan masyarakat khususnya di kawasan Paka,” katanya. 


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan