Jalur Gemilang
Berita :
183 Perwakilan Dari 20 Negara Berhimpun Di MUNIF 2.0
183 Perwakilan Dari 20 Negara Berhimpun Di MUNIF 2.0
Adli Mohamad
9 jam yang lepas
42

KOTA BHARU, 3 September – Seramai 183 perwakilan dari 20 negara berhimpun di Kelantan menerusi Muslim Ummah International Forum 2.0 (MUNIF 2.0), sekali gus memperlihatkan kesatuan suara umat Islam merentasi sempadan dalam memperjuangkan nasib ummah sejagat.

Antara negara yang menghantar delegasi ialah Turkiye, Pakistan, India, Sri Lanka, Bangladesh, Indonesia, Filipina, Thailand, Yaman, Palestin, Iran dan United Kingdom.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, perhimpunan antarabangsa itu membawa mesej bahawa isu yang menimpa umat Islam di sesebuah negara, khususnya Palestin, tidak boleh dilihat sebagai isu yang terpisah daripada tanggungjawab bersama seluruh umat.

“Solidariti umat Islam tidak seharusnya terhenti pada simpati dan pernyataan sokongan, tetapi perlu diterjemahkan kepada pemikiran, strategi dan tindakan yang nyata.

“MUNIF 2.0 menjadi ruang untuk kita menyatukan suara, memperkukuh jaringan serta merangka tindakan bersama dalam menghadapi krisis geopolitik yang memberi kesan kepada umat Islam,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi MUNIF berkata demikian ketika berucap pada Muslim Ummah International Forum 2.0 (MUNIF 2.0) di Hotel Perdana, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man dan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato' Dr. Mohamed Fadzli Hassan.

Mengulas lanjut, Dr. Muhammad Khalil berkata, MUNIF 2.0 turut memberi tumpuan terhadap krisis kemanusiaan, penindasan dan tekanan luar yang dihadapi Palestin, Lubnan, Iran dan Yaman.

“Apabila saudara kita di Palestin, Iran, Lubnan atau Yaman dizalimi dan ditekan, kita tidak boleh melihatnya sebagai sesuatu yang jauh daripada kehidupan kita.

“Ia adalah tanggungjawab agama dan kemanusiaan untuk kita mempertahankan maruah, hak dan kedaulatan saudara-saudara kita,” katanya.

Dr. Muhammad Khalil berkata, MUNIF 2.0 juga perlu menghasilkan resolusi yang mempunyai nilai pelaksanaan, bukannya sekadar menjadi dokumen yang berakhir selepas forum.

“Harapan kita ialah setiap perbincangan dan resolusi yang dicapai dapat diterjemahkan kepada tindakan melalui Jawatankuasa Bertindak Bersama yang telah ditubuhkan pada MUNIF 1.0.

“Kita mahu jaringan ini bergerak, bukan hanya bertemu dan berbincang, tetapi mempunyai kemampuan untuk melakukan sesuatu secara bersama,” jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata, dunia Islam juga memerlukan naratif yang lebih tersusun dan bersatu bagi menjelaskan pendirian umat Islam kepada masyarakat antarabangsa.

“Umat Islam perlu mempunyai suara yang bersatu dalam menyampaikan kebenaran dan membina kefahaman dunia terhadap isu yang berlaku.

“Jangan kita membiarkan naratif tentang umat Islam ditentukan sepenuhnya oleh pihak lain,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa kekuatan umat Islam berpaksikan prinsip persaudaraan sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran menerusi Surah al-Hujurat, ayat 10 bahawa orang beriman itu bersaudara dan hendaklah mendamaikan antara saudara mereka.

“Persaudaraan ini bukan sekadar ungkapan, tetapi mesti diterjemahkan ketika saudara kita sedang berdepan kesusahan, penindasan dan kezaliman,” katanya.

MUNIF 2.0 dianjurkan Pertubuhan Pencinta Baitul Maqdis dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), menghimpunkan delegasi daripada pelbagai latar termasuk gerakan Islam, NGO, institusi strategik, ilmuwan serta aktivis antarabangsa.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan