Berita :
185 Pelajar Dirai Dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar DUN Tepuh
185 Pelajar Dirai Dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar DUN Tepuh
Muhamad Fazlee Aziz
50 minit yang lepas
23

Oleh : Nurul Natasha Surin

KUALA NERUS, 7 Mei - Seramai 185 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh diraikan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar 2025 sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian akademik mereka.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr. Alias Razak, yang turut menyampaikan plak dan sijil penghargaan kepada para pelajar atas usaha dan kejayaan yang diraih.

Dalam ucapannya, beliau memberikan pesanan agar meneruskan kesinambungan kecemerlangan di peringkat pembelajaran selepas ini. Ini kerana SPM hanya sebagai langkah mula yang bakal dilalui oleh semua dengan pelbagai cabaran di peringkat masing-masing.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepuh, Hishamuddin Abdul Karim menegaskan bahawa penganjuran majlis tersebut tidak hanya memberi fokus kepada pelajar cemerlang semata-mata, sebaliknya turut meraikan semua pelajar yang menunjukkan usaha dalam peperiksaan.

“Dalam majlis ini, kita bukan hanya meraikan pelajar yang memperoleh 6A ke atas sahaja, malah pelajar yang mendapat 1A juga turut kita raikan.

“Pendekatan ini penting bagi memberi motivasi kepada semua pelajar agar terus berusaha tanpa rasa terpinggir atau rendah diri dalam mengejar kejayaan,” kata Hishamuddin.

Tambahnya, kejayaan akademik perlu disusuli dengan pembinaan jati diri yang kukuh bagi menghadapi cabaran masa hadapan, khususnya apabila melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi atau ke luar negara.

“Pelajar akan berdepan pelbagai bentuk kejutan budaya termasuk persekitaran baharu, pergaulan serta sistem pembelajaran yang berbeza, yang boleh mempengaruhi emosi dan ketahanan diri.

“Justeru, kekuatan iman dan jati diri amat penting supaya tidak mudah terpengaruh dengan perkara negatif yang boleh menjejaskan masa depan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hishamuddin menasihatkan pelajar agar tidak berasa rendah diri atau membandingkan diri dengan orang lain secara berlebihan, sebaliknya yakin dengan kelebihan masing-masing.




Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan