2 Lembu Sado Antara Korban Buat Rakyat Kuala Nerus

KUALA NERUS, 22 Julai - Musim perayaan Aidiladha bagi penduduk sekitar Parlimen Kuala Nerus meriah dengan sumbangan dua ekor lembu baka Charolais, dikenali sebagai lembu sado untuk dijadikan korban.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengharapkan, bantuan disalurkannya itu mampu memberi keceriaan kepada komuniti setempat meskipun menyambutnya dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Melalui program korban ini, daging daripada lembu yang beratnya sekitar 500 kilogram dapat diagihkan kepada lebih kurang 4,000 orang di sekitar parlimen ini.

“Kesemua lembu yang dikorban berjumlah 17 ekor adalah sebagai inisiatif menyantuni penduduk dan pelbagai agensi di sini serta menjalani ibadah korban.

“Melalui wadah ini, ia dapat memupuk nilai kasih sayang dengan memberi serta berkongsi rezeki kepada semua, sama ada mereka yang kurang berkemampuan, ataupun golongan berada,” katanya ketika ditemubual pemberita.

Menurut beliau, tumpuan utamanya adalah usaha meringankan beban penduduk terjejas terutamanya golongan B40 yang perlu diberi perhatian terutamanya semasa musim pandemik.

“Kita fokus kepada golongan terkesan teruk, kerana ini adalah sebahagian daripada program bantuan kepada komuniti bagi membantu mereka mengharungi kekangan semasa.

“Sebagai contohnya pada Jun lalu, kita telah mengagihkan bakul makanan sekitar lebih kurang 8,000 unit kepada keluarga yang memerlukan,” jelasnya.

Tambahnya lagi, bagi mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP), agihan daging korban berkenaan diagihkan secara pandu lalu, di hadapan Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Nerus.