• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

200 OKU Terengganu Terima Vaksinasi

KUALA TERENGGANU, 2 Julai - Seramai 200 orang kurang upaya (OKU) pelbagai peringkat di Terengganu menerima suntikan vaksin dos pertama di Terengganu Trade Centre (TTC), hari ini.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, keseluruhan jumlah itu melibatkan seramai 75 OKU daripada Persatuan Orang Pekak Terengganu (POPT) serta 15 atlet para Terengganu.

"Selain itu, seramai 77 penerima daripada pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), 23 OKU pelbagai dan 10 tenaga pengajar OKU turut menerima suntikan dos pertama vaksin hari ini.

"Untuk makluman, sebenarnya di seluruh negeri telah ramai OKU yang menerima suntikan vaksin melalui kategori awam yang ada. Mengikut statistik dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), lebih kurang sebanyak 30,000 katergori tersebut di Terengganu yang perlu diberikan keutamaan menerima vaksinasi.

Golongan OKU sedang menerima taklimat daripada doktor melalui jurubahasa di PPV TTC.

"Kita memang cakna berkenaan data ini dan sedang memproses data di seluruh negeri, sekiranya ada mereka akan diserapkan dalam kategori awam sedia ada," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) TTC, hari ini.

Jelasnya, PPV itu yang baru dibuka bermula Ahad lalu mempunyai kapasiti melaksanakan 300 dos vaksinasi sehari dan akan ditingkatkan kepada 800 dos sehari bermula minggu hadapan.

Dalam pada itu, Presiden POPT, Tengku Arman Harris Tengku Ismail memaklumkan, ini merupakan kali kedua program vaksinasi besar-besaran melibatkan OKU.

"Seramai 63 orang yang berdaftar di bawah POPT akan datang untuk mengambil suntikan vaksin daripada 658 orang ahli. 

"Setakat ini, 114 orang di Kuala Terengganu telah menerima vaksin dan lebih kurang 20 orang ahli POPT menerima vaksin yang sedang berlangsung di Besut, hari ini," katanya.

Seorang pelatih di PDK Manir, Hanafi Mohd Rosli (berbaju biru) dan ibunya hadir bersama untuk menerima suntikan vaksin.

Jelasnya, ramai dikalangan OKU terutama pekak bisu telah mendaftar untuk mendapatkan vaksin, tetapi sebahagian besar masih belum dapat panggilan dan takut untuk mengambil vaksin.

Menurutnya, sebilangan mereka juga sebenarnya mengalami masalah dalam proses mendaftar Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kerana masalah komunikasi.

"Kami banyak menyebarkan maklumat sesama kami melalui pesanan WhatsApp dan juga panggilan video dalam usaha menyampaikan maklumat tentang vaksinasi ini," katanya. 

 

 


Tag: