BESUT, 21 April – Hulu Besut dikenal pasti mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai antara destinasi pelancongan alam semula jadi utama negeri berikutan keunikan produk ekopelancongan dan kesejahteraan (eco-tourism dan wellness tourism) yang terdapat di kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Husain berkata, beberapa lokasi tarikan utama seperti Taman Eko Rimba Lata Tembakah, La Hot Spring dan Pusat Peranginan Air Deru mempunyai keistimewaan tersendiri yang mampu menarik lebih ramai pelancong domestik mahupun antarabangsa.
Menurut beliau, kawasan berkenaan bukan sahaja sesuai untuk aktiviti rekreasi keluarga, malah berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai produk pelancongan bernilai tinggi sekiranya diberi tumpuan secara menyeluruh.
“Keindahan alam semula jadi serta suasana desa yang masih terpelihara menjadi nilai tambah yang sangat penting dalam memperkukuh sektor pelancongan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Diraja dalam isu berkaitan ekonomi negeri, di Sidang Dewan Undangan Negeri Kelima Belas di sini hari ini.
Bagaimanapun, tegasnya, potensi tersebut hanya dapat direalisasikan sekiranya disokong dengan kemudahan infrastruktur yang lengkap, aspek keselamatan dan kebersihan yang dipertingkatkan serta pengurusan kawasan yang lebih sistematik.
Dalam pada itu, Mohd Husaimi memaklumkan satu produk pelancongan baharu iaitu Santuari Ikan akan dibangunkan di Taman Eko Rimba Lata Tembakah sebagai nilai tambah kepada tarikan sedia ada di kawasan berkenaan.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan memberi perhatian serius terhadap beberapa aspek utama termasuk menaik taraf infrastruktur asas, memperkukuh aspek keselamatan dan kebersihan, serta mempergiatkan promosi secara lebih agresif dan bersepadu.
“Saya turut mencadangkan agar pembangunan produk pelancongan ini dilaksanakan secara komuniti supaya manfaatnya dapat dinikmati terus oleh penduduk setempat,” katanya.
Beliau dalam masa sama berharap setiap kajian dan tindakan berkaitan pembangunan sektor pelancongan di Hulu Besut dapat dipercepatkan bagi memastikan potensi kawasan itu tidak terus terbiar tanpa dimanfaatkan sepenuhnya.
Tag :