• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

200 Sukarelawan Sertai Operasi Pasca Banjir

DUNGUN, 27 Disember- Lebih 200 orang sukarelawan menyertai Operasi Pasca Banjir T-Volt Bukit Besi, Dungun bagi bersama-sama mengembeleng tenaga untuk menjayakan gotong-royong di kawasan yang terjejas banjir. 

Pengarah program Zakariah Yusof berkata, walaupun perbincangan untuk mengadakan program tersebut hanya beberapa hari lepas diputuskan tetapi sambutan yang diterima amat memberangsangkan. 

"Selain Khidmat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (KHIDMAT Malaysia) Daerah Dungun , 30 orang  Rakan Muda dan masyarakat kampung juga turut terlibat menjayakan operasi ini," ujarnya yang juga Pengarah KHIDMAT Malaysia Daerah Dungun ketika ditemui pemberita selepas program tersebut. 

Mengisi aturcara program anjuran bersama Terengganu Volunteers(T-Volt) ialah Jom Tukor Minyok Hitam, Dapur Rakyat, Bersih, Comel, Cantik Kubur dan Cuci Cuci Banjir. 

Program yang diadakan di Kampung Minda Telong di Dewan Undangan Negeri(DUN) Bukit Besi semalam turut dihadiri Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd dan ADUN Rantau Abang, Aiias Harun. 

Sementara itu, Wan Hassan yang merasmikan majlis itu melahirkan rasa kagumnya kepada sukarelawan walaupun tanpa habuan dan tambahan lagi hujan lebat tetap datang untuk mencurahkan tenaga. 

 "Dengan semangat dan sifat ringan tulang, hari ini mereka berjaya membersihkan masjid, sekolah, balairaya serta kubur di Kampung Minda Talong demi keselesaan orang kampung selepas ini,"katanya. 

 

 


Tag: