• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

2018 Tahun Gemilang Sukan Terengganu

Wan Sukairi Wan Abdullah mengaminkan doa dalam penutup Kejohanan Golf Interclub Piala Ke-Bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Terengganu. Foto - Wan Luqmanul Hakim
KUALA NERUS, 4 November - Walaupun ramai peminat menangisi kegagalan Terengganu membawa pulang Piala Malaysia baru-baru ini, harus diakui tahun 2018 merupakan tahun gemilang negeri itu dalam bidang sukan di peringkat kebangsaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pencapaian Negeri Terengganu dalam bidang tersebut amat membanggakan.

"Tahun ini, kita berjaya menjuarai Sukan Malaysia (SUKMA). Dalam sukan bola sepak pula, kita berjaya memasuki enam perlawanan akhir dalam pelbagai peringkat umur dan memenangi tiga daripadanya," ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, secara keseluruhannya, Terengganu menguasai sukan dalam negara ini dan beliau berharap agar suatu masa nanti Terengganu akan menguasai sukan golf juga di peringkat yang lebih tinggi.



Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutup Kejohanan Golf Interclub Piala Ke-Bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Terengganu di Kuala Terengganu Golf Resort, semalam.



Kejohanan itu disertai lapan pasukan dalam negeri dan dimenangi oleh Kelab Sukan Pemain Golf Kuala Terengganu (KSPGKT) yang membawa pulang piala pusingan serta hadiah wang tunai berjumlah RM7,000.

Semalam, Pasukan Hoki Terengganu turut dinobatkan sebagai naib juara hoki Piala Razak 2018 apabila tewas kepada Perak menerusi penalti 3-1 setelah seri 2-2


Tag: