• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

23 Jemaah Masjid Ulul Albab Disahkan Negatif COVID-19

 

BESUT, 12 Oktober - Seramai 23 jemaah Masjid Ulul Albab, Kampung Seberang Jerteh disahkan negatif COVID-19 melalui hasil dua ujian pengesanan yang dilakukan terhadap mereka.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Seberang Jerteh, Mohd Hanis Abas berkata, mereka sebelum ini telah menjalani kuarantin di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, Wakaf Tapai di Marang sejak Selasa lalu.

"Kesemua 23 jemaah telah menjalani kuarantin dan sepanjang tempoh saringan tidak ada satu orang pun yang menunjukkan tanda-tanda positif.

"Mereka telah pun dibenarkan pulang dan selamat sampai ke rumah masing-masing," ujarnya kepada pemberita di Kampung Seberang Jerteh, semalam.

Mohd Hanis berkata, para jemaah tersebut diarahkan menjalani kuarantin setelah masjid itu baru-baru ini dilawati Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato' Seri Dr Zulkifli Mohamad Al- Bakri yang disahkan positif COVID-19.

 Katanya, Masjid Ulul Albab juga ditutup sementara selama tiga hari bagi melancarkan kerja-kerja proses nyahkuman.