• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

23 Pelajar Terengganu di Mesir Terima Anugerah

KAHERAH, 13 Mac - Seramai 23 orang pelajar Terengganu di Mesir telah menerima anugerah kecemerlangan mahasiswa ketika Majlis Ramah Mesra Bersama YB dan & Anugerah Kecemerlangan Mahasiswa Terengganu Mesir.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahari Mamat berkata, majlis berkenaan diharapkan akan memberi semangat motivasi kepada semua pelajar untuk terus mengukir kecemerlangan.

"Ini membuktikan Kerajaan Negeri sentiasa mengambil perhatian kepada pelajar-pelajar anak negeri walaupun berada di luar sana," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis berkenaan di Wisma Darul Iman Terengganu, Kaherah, yang dihadiri oleh pelajar-pelajar cemerlang dari Terengganu yang sedang menuntut di Mesir.

Dalam majlis berkenaan, Anugerah Tokoh Mithali pelajar Tahmidi Peringkat Pengajian Master Fiqh Am di Universiti Al-Azhar, Kaherah turut disampaikan kepada saudari Nurul Faqehah Dzulkefli.

Penghargaan itu beriuktan beliau berjaya memperolehi keputusan peperiksaan keseluruhan 'Mumtaz Bilmartabat Syaraf' di peringkat antarabangsa bagi pengajian Ijazah Sarjana Muda Fakulti Syariah Islamiah dan menerima hadiah berjumlah EGP 17,350.00, termasuk kitab rujukan Feqah Bermazhab Syafie yang berharga EGP 7,325.00 dan baucar wang EGP 10,000.00.

Beliau dipilih atas prestasi gemilangnya dan keaktifannya dalam pelbagai aktiviti kebajikan dan sosial di kalangan pelajar juga menjadi faktor penentu dalam penganugerahan tersebut.

Selain itu, Anugerah Mahasiswa Cemerlang juga turut diberikan kepada 20 orang pelajar yang dipilih dari pelbagai bidang Pengajian Islam dan Sains Kesihatan.

Dua pelajar lain turut menerima Anugerah Pengisi Berkaliber. Penerima-penerima anugerah ini dipilih atas kecemerlangan akademik tertinggi dan sumbangan mereka dalam aktiviti lapangan masyarakat.

 


Tag: