• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

238 Unit RMM Bukit Gasing 2 Dijangka Siap Oktober

MARANG, 18 Mac – Projek Perumahan Rumah Mampu Milik (RMM) Bukit Gasing 2 dijangka dapat disiapkan sepenuhnya pada Oktober 2024.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata projek di bawah kerajaan negeri itu merangkumi 238 buah unit rumah.

Katanya, kesemua unit rumah tersebut terbahagi kepada dua jenis iaitu A dan B.

“Jenis A mempunyai 133 buah rumah manakala jenis B pula berjumlah 65 unit rumah.

“Dalam taklimat yang dimaklumkan tadi, projek yang telah dimulakan pembinaan pada tahun 2021 lalu berlaku kelewatan daripada jadual asal yang sepatutnya siap lebih awal daripada ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mengadakan Lawatan Kerja di Tapak Perumahan RMM Bukit Gasing 2 bertempat di Perumahan RMM Bukit Gasing 2, Marang di sini semalam.

Tambah Wan Sukairi, punca dan beberapa isu berlaku akibat kelewatan telah dinyatakan oleh pihak kontraktor.

Tambahnya lagi, perkara tersebut tidak dapat dielakkan seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika Covid19 melanda sehingga terpaksa ditangguhkan dan beberapa lagi isu berkaitan.

“Kita mengharapkan komitmen yang diberikan oleh pihak kontraktor dapat dilaksanakan sehingga Oktober.

“Seterusnya, kita akan melihat keseluruhan 238 unit RMM jenis A dan B ini dapat disiapkan sepenuhnya.

“Sekali gus dapat memberi manfaat kepada rakyat Terengganu bakal menduduki rumah yang disediakan oleh pihak kerajaan ini,” ujarnya.

 


Tag: