Jalur Gemilang
Berita :
250 Peserta, 11 Negara Bakal Gegar Terenganu
250 Peserta, 11 Negara Bakal Gegar Terenganu
Mastura Jamal Din
5 jam yang lepas
64

KUALA NERUS, 22 September - Terengganu bakal menjadi tumpuan peminat sukan boling padang apabila Malaysian Open Lawn Bowls – The Royal Patron’s Cup 2026 membuka tirai pada 25 hingga 31 Oktober ini di Arena Lawn Bowls, Kompleks Sukan Negeri Terengganu.

Presiden Persatuan Boling Padang Negeri Terengganu merangkap Timbalan Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia, Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, kejohanan tersebut julung-julung kali dianjurkan sebagai platform memperkukuh kedudukan Malaysia dalam arena boling padang dunia.

Menurut beliau, kira-kira 250 peserta dijangka menyertai kejohanan berkenaan, termasuk hampir 100 peserta dari 11 negara luar.

“Penganjuran Malaysian Open ini mengambil peluang daripada kedudukan Malaysia yang kini berada di ranking ketiga dunia, selain kejayaan skuad negara muncul juara Piala Dunia 2025 baru-baru ini.

“Lebih membanggakan, atlet wanita Malaysia kini berada di ranking pertama dan keempat dunia, manakala atlet lelaki pula menduduki ranking kelima dunia,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran kejohanan bertaraf antarabangsa itu turut memberi ruang kepada atlet tempatan, khususnya dari Terengganu, untuk beraksi di pentas kompetitif bersama pemain terbaik dunia.

Katanya, ketika ini tiga anak Terengganu turut terpilih mewakili skuad boling padang negara.

“Ini satu perkembangan yang cukup membanggakan dan kita berharap kejohanan ini dapat menjadi medan untuk mereka menimba pengalaman serta meningkatkan prestasi,” katanya.

Sementara itu, majlis perasmian kejohanan dijadual disempurnakan oleh Pemangku Raja Terengganu pada jam 2 petang, 27 Oktober depan.

Penganjuran kejohanan berkenaan dijangka bukan sahaja mengangkat sukan boling padang di Terengganu, malah memperkenalkan negeri itu sebagai antara lokasi pilihan bagi penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan