• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

284 Pelajar Golongan Asnaf Terima Bantuan Zakat

Oleh : Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 19 September - 284 pelajar daripada golongan asnaf di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang telah terpilih untuk menerima zakat daripada Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) bagi meringankan beban sebelum memulakan persekolahan nanti.

Pengerusinya, Datuk Razali Idris berkata, jumlah agihan zakat tersebut sebanyak RM56,800 .

"Program ini merupakan rutin setiap tahun yang kita agihkan kepada golongan asnaf didalam wilayah KETENGAH dan pada kali ini turut memberi manfaat kepada kawasan sekitar dimana setiap pelajar menerima RM200," ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui pada Majlis Agihan Zakat kepada pelajar berkenaan yang diadakan secara pandu lalu di DUN terbabit, di Dewan Al Husna Markas Tarbiyah Darul Ansor, di Kampung Alor Mak Bah, di sini, kelmarin.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau Abang, Alias Harun dan Pegawai Penyelidik Pejabat Menteri Besar Terengganu, Azman Shapawi Abdul Rani.

Dalam pada itu Alias merakamkan ucapan terima kasih atas insiatif yang diperuntukkan itu untuk memilih 10 orang daripada setiap 28 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di dalam DUN tersebut.

"Kalau diikutkan hanya 10 JPKK sahaja yang berada dalam wilayah KETENGAH yang layak menerimanya, namun Allah rezekikan kesemua mereka untuk mendapat manfaat ini.

"Semoga melalui peruntukkan zakat yang diagihkan ini akan dapat meringankan beban yang dialami oleh kesemua mereka yang terpilih ini sebagai persiapan untuk menghadapi penggal persekolahan nanti," ujarnya.


Tag: