• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

290 Peserta RTB Pertanian Di Kijal Terima Borang 5A

KEMAMAN, 16 April - Seramai 290 peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Pertanian Kelapa Sawit Felcra Lubuk Dalam IV dan RTB Pertanian Darat Datuk A menerima borang 5A.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Hazri Jusoh ketika berucap di majlis perasmian merakamkan ucapan tahniah kepada peserta yang terpilih menyertai RTB tersebut.

"Alhamdulillah, sempena bulan yang mulia ini marilah kita bersyukur kehadrat ilahi diatas kurniaanNya. Syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat dalam menjayakan RTB ini dan semua yang terpilih menyertainya.

"Sebanyak mana pun geran yang kita ada dan banyak mana pun harta kita, jika tiada keampunan dari Allah maka ianya tidak berguna," katanya.

Hazri berkata demikian ketika berucap di Kompleks Paya Lasir, Bandar Baru Kijal, baru-baru ini.

Menurut Hazri, nilai semasa tanah RTB tersebut adalah RM100 ribu seekar dan peserta perlu membayar RM40 ribu (empat ekar) dalam kadar 10 peratus daripada harga tersebut. 

Sebelum ini sudah ada pertemuan dengan Pengerusi Felcra di Kuala Lumpur bagi membincangkan isu premium ini.

"InsyaAllah, bayaran pendahuluan dari Felcra," ujarnya.

Turut hadir Ketua Penolong Pentadbir Tanah Kemaman, Wan Saifullizam Wan Jusoh, Penolong Kanan Pentadbir Tanah Kemaman Mohamad Hafiz Che Awang dan Zabidin Awang, Ahli Majlis Perbandaran Kemaman.

Sementara itu, Pegawai Pemasaran Felcra Wilayah Timur, Mohamad Ismail yang turut berucap dimajlis tersebut menerangkan tentang pembayaran dividen dan aktiviti yang ada setelah mereka disahkan menjadi warga Felcra.

"Bayaran dividen akan dibuat dalam tempoh tiga kali setahun iaitu empat bulan sekali mengikut keuntungan pada harga semasa kelapa sawit ketika itu.

"Peserta juga layak menjadi ahli koperasi Felcra samada Koperasi Lubuk Dalam maupun Koperasi Darat Datuk dan boleh menyertai badan bukan kerajaan yang ada didalam Felcra," jelas beliau.


Tag: