• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

2,934 Permohonan Lot Tapak Rumah Terengganu Diluluskan

Dr. Alias Razak.
KUALA TERENGGANU, 15 Julai - Kerajaan Terengganu telah meluluskan sebanyak 2,934 lot tapak rumah untuk golongan terkilan sejak Jun 2018 hingga sekarang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, pemohon berkenaan adalah mereka yang telah mendapat kelulusan pada tahun 1999 hingga 2004 tetapi ditarik balik kerana kekangan tertentu.

Jelasnya, usaha menunaikan kembali hak mereka itu adalah sebagai bukti dan komitmen kerajaan negeri dalam mengurangkan bebanan rakyat.

“Jumlah permohonan tapak rumah terkilan yang telah diproses dan diluluskan kembali sehingga Mei 2019 adalah sebanyak 2,934 lot.

“Ianya menyaksikan Setiu sebagai daerah yang paling tinggi (permohonan diluluskan) iaitu 1,154 lot mengatasi Besut sebanyak 841, Kemaman 588 lot, Marang 218 lot, Hulu Terengganu 83 lot, Kuala Terengganu 40 lot dan Dungun 10 lot,” katanya.

Alias Harun.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas di Wisma Darul Iman, hari ini.

Mengulas lanjut tentang bayaran premium tanah berkenaan oleh penerima, Alias yang juga ADUN Bukit Tunggal menjelaskan, kaedah bayaran itu dipecahkan kepada dua kategori dengan mengambil kira pendapatan mereka.

Kata beliau, usaha berkenaan dibuat bagi memberi sepenuhnya ruang kepada penerima untuk merancang perbelanjaan supaya tidak membebankan.

“Secara umumnya, kita sebenarnya memberi dan menetapkan tempoh-tempoh tertentu kepada pemohon untuk menyelesaikan bayaran ini.

“Bagi yang tidak mampu atau berpendapatan rendah, khususnya kurang daripada RM1,750 sebulan, kita berikan tempoh tiga tahun bayaran secara ansuran, manakala yang mampu kita tetapkan masa tiga bulan,” tambah beliau.

Tag: