KUALA TERENGGANU, 11 Februari – Seramai 29,402 asnaf fakir dan miskin di Terengganu bakal menerima bantuan zakat berjumlah lebih RM15 juta sempena Ramadan tahun ini dengan kaedah agihan baharu melalui sistem tuntutan di kedai-kedai terpilih di seluruh negeri.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Dato’ Nara Setia berkata, kaedah agihan tahun ini berbeza berbanding sebelum ini kerana penerima tidak lagi menerima bantuan secara tunai, sebaliknya menuntut barangan keperluan di kedai terpilih yang menyediakan pelbagai pilihan barangan dan perkhidmatan.
"Penerima boleh membuat tuntutan melibatkan barangan keperluan harian, pakaian serta bayaran utiliti termasuk bil telefon dan pembelian tambah nilai menerusi outlet runcit, pasar raya besar serta platform pembelian atas talian yang mengambil bahagian.
“Tuntutan boleh dibuat bermula 19 Februari hingga 31 Mac 2026,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media Pengumuman Ketetapan Kadar Zakat Fitrah Tahun 1447H/2026M dan Bantuan Zakat Sempena Ramadan 1447H/2026M Asnaf Fakir Miskin di Dewan Auditorium Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu di sini hari ini.
Menurut Dato' Nara Setia, bantuan tersebut dibahagikan kepada tiga kategori iaitu isi rumah tunggal menerima RM300, isi rumah dua atau tiga orang (RM500) dan isi rumah empat orang ke atas (RM700).
"Seramai 7,877 penerima akan menerima bantuan RM300 melibatkan peruntukan lebih RM2.3 juta, manakala 8,228 penerima bagi kategori RM500 melibatkan lebih RM4.1 juta.
“Sementara itu, bagi kategori isi rumah empat orang ke atas yang menerima RM700 pula melibatkan 13,297 penerima dengan jumlah peruntukan melebihi RM9.3 juta,” katanya.