• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

3 Tips Kejayaan Dalam Peperiksaan Awam


Haji Yahaya berucap mewakili Dr Ahmad Samsuri di Malam Restu Perdana di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus.
KUALA NERUS, 31 Oktober - Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyampaikan tiga pesanan termasuk manfaatkan masa terluang, jaga kesihatan dan pergantungan kepada Allah sebagai asas kejayaan pelajar dalam peperiksaan awam.

Katanya, pelajar harus menggunakan masa yang ada sebelum tarikh peperiksaan untuk terus membuat ulangkaji dan membaca.

Sementara ibu bapa perlu memastikan anak-anak mereka menjaga kesihatan diri agar tidak mengganggu konsentrasi (tumpuan) untuk ulangkaji pelajaran sebelum sampai waktu peperiksaan.

Mereka juga katanya, perlu sentiasa meletakkan kebergantungan diri kepada Allah agar dipermudahkan segala urusan dalam menghadapi ujian peperiksaan terbabit.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Malam Restu Perdana di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Haji Yahaya Ali.
Orang ramai solat hajat pohon kejayaan dari Allah bagi pelajar menghadapi peperiksaan SPM dan STPM.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Haji Satiful Bahri Mamat, Timbalannya, Ustaz Maliaman Kassim dan Pengarah Pendidikan Negeri, Haji Shafruddin Haji Ali Hussin.

Majlis yang julung-julung kali diadakan secara besar-besaran, membabitkan seluruh rakyat Terengganu, dianjurkan bersama antara Kerajaan Negeri Terengganu dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu.

Kira-kira 1,000 pelajar dan orang ramai mengadakan solat hajat di majlis tersebut sempena peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Menurut laporan terkini Portal Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, sebanyak empat jenis peperiksaan telah selesai diadakan termasuk UPSR pada 20, 24 hingga 27 September yang lalu, PT3 pada 1 hingga 4 Oktober lalu, STAM pada 16 hingga 18 dan 22 hingga 23 Oktober lalu, sementara STPM (Penggal Kedua) pada 21 hingga 24 Mei lalu.

Manakala peperiksaaan belum selesai ialah SPM bermula pada 13 November hingga 13 Disember ini dan STPM (Penggal Ketiga) bermula pada  13, 14, 15, 19 dan 21 November ini.



Tag: