• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

300 Peserta Sertai Langkah Merdeka Masjid Seberang Takir

KUALA NERUS, 22 Ogos - Lebih 300 peserta menyertai program Langkah Merdeka sebagai simbolik sambutan hari kemerdekaan yang bakal tiba tidak lama lagi.

 

Pengerusi Komuniti Keluarga Malaysia Seberang Takir, Zakaria Dagang dalam ucapanya menzahirkan penghargaan buat  Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JAPENT), Komuniti Keluarga Malaysia (KKM) dan Masjid Seberang Takir dan JPKK atas penganjuran aktiviti itu.

Katanya, program berkenaan cukup meriah kerana turut disertai pelajar-pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bersama komuniti setempat.

"Mudah-mudahan program dapat menyuburkan lagi semangat kemerdekaan, semangat hari kebangsaan dan juga memupuk hubungan antara kita sebagai satu keluarga Malaysia," ujarnya yang juga merupakan Pengerusi Masjid Seberang Takir.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Dato' Dr. Alias Razak yang turut hadir berkata, fenomena filem Mat Kilau pastinya akan memeriahkan lagi sambutan kemerdekaan tahun ini.

"Sebenarnya filem ini mengingatkan rakyat Malaysia ataupun Tanah Melayu khususnya kita orang-orang melayu dan Islam kita dijajah sejak tahun 1911.

"Selama tempoh itu, ada yang mati ada yang syahid serta dibuang negara dan sebagainya. Penderitaan yang dilalui oleh nenek moyang kita yang berjuang adalah orang-orang Islam dan melayu berusaha memerdekakan negara kita, mereka tidak duduk sahaja," katanya.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab Ketika dihubungi berkata, beliau terharu dengan sambutan yang baik dari warga Seberang Takir dan juga agensi-agensi kerajaan antaranya MBKT, JAPENT, UMT dan UniSZA

“Penghargaan saya  Masjid Seberang Takir atas pengajuran program tersebut dan berharap kempen berterusan dapat diadakan bagi melahirkan kecintaan terhadap negara walau apa jua cara," jelasnya.

Seorang peserta, Johari Julkipli, 22, daripada Kelab Rukun Negara Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) teruja dapat berkolaborasi dengan Masjid Seberang Takir bagi menjayakan program Langkah Merdeka 2022

“Alhamdulillah seramai 42 orang daripada kelab kami dan mereka yang hadir betul-betul bersemangat menyambut hari kemerdekaan yang bakal tiba.

“Nasihat saya kepada anak-anak muda supaya terus menyertai program seperti ini bagi mewujudkan semangat cintakan negara, patriotism dikalangan pelajar-pelajar.

“Anak muda merupakan tunjang kepada nagara untuk berjuang bagi kesejahteraan kepada negara," tambahnya.


Tag: