• 26 Jul 2024 | 19 Muharam 1446

31 Keluarga Asnaf Terima Sumbangan

Oleh: Muhammad Zamarul hishyam

BESUT, 28 Jun - Kerajaan negeri sentiasa komited dalam menyantuni golongan asnaf menerusi program temu mesra dan kasih prihatin 2024.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, ia merupakan satu lagi inisiatif penting dalam usaha memastikan nasib golongan memerlukan terutama asnaf mendapat perhatian serta bantuan yang terbaik.

Katanya, untuk siri pertama seramai 31 keluarga asnaf dari daerah Besut menerima sumbangan bagi meringankan beban mereka dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini.

"Kecil bagi kita tetapi besar nilainya bagi mereka yang memerlukan.

"Pada hari ini mereka akan menerima sumbangan wang tunai serta barangan makanan asas dengan jumlah Rm 500 satu keluarga,” ujarnya kepada pemberita.

Tambah Maliaman lagi, program tersebut mendapat kerjasama daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), NGO Wargakilang serta pihak-pihak berkaitan.

Menurutnya, program itu juga akan diteruskan ke daerah-daerah lain dari semasa ke semasa melibatkan golongan asnaf di Terengganu.

Sementara itu, salah seorang penerima, Rogayah Rifin, 52, berkata sumbangan yang diterima dapat meringankan beban kerana dia masih mempunyai tujuh orang anak yang perlu ditanggung olehnya.

"Syukur Alhamdulillah atas keprihatinan semua pihak...terima kasih kerana membantu kami sekeluarga," ujarnya.

Manakala bagi Norwahidaa Wani yang merupakan seorang ibu tunggal berkata sumbangan yang diterima ini sedikit sebanyak dapat menampung keperluan hariannya.