• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

320 Penduduk Disuntik Di PPV Masjid Makmur Losong Dato' Amar

KUALA TERENGGANU, 11 Julai – Seramai 320 penduduk setempat telah berjaya disuntik sempena inisiatif Program ‘Outreach’ Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Masjid Makmur Losong Dato' Amar, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut yang mendapat suntikan Vaksin Sinovac, 200 orang menerima dos pertama dan 120 orang untuk dos kedua.

“Menariknya dalam program outreach anjuran Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) ini ialah kesemua doktor terlibat merupakan doktor-doktor pakar dikalangan hospital kerajaan dan juga swasta.

“Mewakili Kerajaan Negeri, saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah buat semua petugas yang telah terlibat dalam menjayakan program outreach PPV ini,” katanya ketika ditemubual pemberita, semalam.

Turut hadir tadi ialah Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Ariffin Abdullah, Pengerusi PAPISMA Terengganu, Dr Muhammad Zuraizi Jaafar dan wakilP ejabat Agama Kuala Terengganu.

Berdasarkan laporan terkini oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKVAV) sehingga 9 Julai, Terengganu mencatatkan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin COVID-19 sebanyak 201,040 orang (16 peratus daripada populasi) manakala dos kedua 111,665 orang telah menerima (8.9 peratus).