• 15 Okt 2024 | 12 Rabiul Akhir 1446

33,300 Anak Benih Dilepaskan, Tingkat Hasil Tangkapan

Oleh: Fauzi Mat Adam

Marang, 27 Ogos- Program pelepasan benih ikan berupaya meningkatkan sumber perikanan semulajadi sekali gus memberi manfaat ekonomi jangka panjang kepada penduduk kampung.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata, sebagai inisiatif memulihara sumber perikanan sungai dan memperkayakan biodiversiti akuatik, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pengkalan Berangan dengan kerjasama Jabatan Perikanan Daerah Marang telah melepaskan 33,300 benih ikan di sungai kampung berkenaan.

"Program ini bukan sahaja untuk menambah stok ikan di sungai, tetapi juga sebagai usaha untuk mendidik masyarakat mengenai kepentingan menjaga ekosistem air tawar yang berharga ini.

“Sebanyak 33,300 benih ikan pelbagai spesies seperti siakap, baung, ikan baung serta udang udang galah telah dilepaskan ke dalam sungai tersebut. 

“Benih-benih ikan ini diharapkan dapat membiak dan menyumbang kepada peningkatan hasil tangkapan bagi komuniti setempat di masa akan datang,” ujarnya.

Katanya, inisiatif tersebut juga bertujuan memulihkan populasi ikan di sungai-sungai tempatan yang telah terjejas akibat aktiviti pembangunan dan pencemaran.

“Dengan adanya program perlepasan benih ikan seperti ini, kita dapat memastikan kelangsungan ekosistem sungai serta menyediakan sumber pendapatan tambahan kepada penduduk melalui aktiviti perikanan.

“Ini juga selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk membangunkan sektor perikanan secara mampan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi JPKK Pengkalan Berangan, Suhaimi Mohamad berkata, pihaknya sentiasa bersedia untuk terus bekerjasama dengan jabatan-jabatan kerajaan dalam usaha meningkatkan taraf hidup penduduk kampung.

“Program seperti ini sangat bermakna kepada penduduk tempatan. Kami akan terus menyokong inisiatif yang dapat membawa manfaat kepada komuniti, termasuklah dalam bidang perikanan dan pertanian,” ujarnya.