• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

KUALA TERENGGANU, 23 April - Seramai 34,827 orang kurang upaya (OKU) didaftarkan di Terengganu sehingga 31 Mac 2024.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata data itu diperolehi berdasarkan pendaftaran dalam Sistem Maklumat OKU (SMOKU).

"Kuala Terengganu mencatatkan jumlah pendaftaran tertinggi iaitu 11,002 orang, diikuti Besut seramai 5,553, Kemaman (5,242), Dungun (4,537), Marang (3,693), Hulu Terengganu (2,607) dan Setiu (2,193).

"Masalah pembelajaran merupakan kategori OKU  tertinggi yang didaftarkan iaitu seramai 15,390, fizikal (9,664), penglihatan (2,952), pendengaran (2,556), mental (2,513), pelbagai (1,564) dan pertuturan (187)," ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Buluh Gading , Ridzuan Hashim di Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini.

Sementara itu, Maliaman berkata terdapat 47 Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) yang menjalankan program kepada kanak-kanak OKU dengan bilangan pelatih 1,178 orang.

"Kita juga mempunyai enam buah pusat jagaan OKU yang berdaftar dengan Akta Pusat Jagaan (APJ) 1993 yang menempatkan 117 orang," ujarnya.