• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

350 Penduduk Hulu Besut Terima Geran Tanah

BESUT, 10 Jun- Seramai 350 penduduk di Hulu Besut menerima geran hak milik kekal melibatkan enam Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit.

Enam RTB tersebut adalah RTB Pak Sik (Keruak), RTB PPRT Belaoh, RTB Bukit Baling (Kampung Seberang La), RTB Sungai Lah (Kg. Batu 13), RTB Bukit Merah (Felda Tenang) dan RTB Bukit Madunna di Kg Bukit Payong.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pemberian geran milikan kekal tersebut merangkumi dua kategori tanah iaitu tanah tapak rumah dan tapak pertanian.

"Alhamdulillah, hari ini kita berjaya menyelesaikan pemberian geran tanah bagi penduduk di Hulu Besut ini dan ia adalah antara permulaannya, insya-Allah akan lagi usaha-usaha untuk memberi milikan tanah kepada yang layak sebagaimana syarat dibuat kerajaan negeri.

"Dalam masa sama, saya minta juga kepada semua untuk memahami bahawa proses pengurusan tanah ini membabitkan prosedur yang ketat dan sudah tentu memakan masa.

"Ini penting bagi mengelakkan sebarang kesilapan yang boleh membawa implikasi undang-undang kelak. Jadi, tanah yang menjadi milik tuan-tuan dan puan-puan, kita doakan supaya dapat digunakan dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua penerima, seterusnya mendapat keberkatan Allah SWT," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Penyerahan Geran Tanah RTB di Padang Akar, semalam.

Turut hadir, YBM Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Terengganu, Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Shahidan Embok, Pengarah Tanah dan Galian Terengganu, Dato' Zulkifli Ali, Pegawai Penyelaras DUN Hulu Besut, Mat Daik Mohamad dan penyelaras-penyelaras DUN.

Dalam pada itu, Mat Daik memaklumkan bahawa lebih 500 penduduk di DUN terbabit telah menerima geram selama pentadbiran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN sejak 2018.

 

 

 

 

 


Tag: