• 24 Okt 2020 | 7 Rabiul Awal 1442

40 Kawah Bubur Asyura Sambut Bulan Muharam

KEMAMAN, 21 September - Sebanyak 40 kawah bubur asyura dimasak dalam Program Memasak Bubur Asyura Peringkat Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai sempena menyambut bulan Muharam.

ADUN Chukai, Hanafiah Mat berkata, antara objektif diadakan program tersebut adalah bagi merapatkan silaturahim di antara MPKK dan agensi kerajaan di Kemaman.

"Program ini diadakan bagi memastikan seluruh gerak kerja dilaksanakan dengan sebaiknya, bukan sahaja di peringkat lapangan tetapi di seluruh jabatan kerajaan," ujarnya.

Katanya lagi, setiap MPKK dan agensi kerajaan diberikan RM500 bagi membeli bahan-bahan untuk memasak bubur asyura dan sebagainya.

"Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dan turut mengambil bahagian dalam menjayakan program pada kali ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan gimik perasmian program yang berlangsung di pekarangan Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman, baru-baru ini.

Sebanyak 40 kawah dimasak melibatkan 29 MPKK dan selebihnya melibatkan agensi-agensi kerajaan yang ada di Kemaman.

Antara agensi kerajaan yang terlibat ialah Pejabat Daerah Kemaman, Majlis Perbandaran Kemaman, Pejabat Kesihatan Kemaman, Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan & Saliran, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan lain-lain.

Sebahagian bubur asyura yang dimasak telah diagihkan kepada pengguna jalan raya berhadapan Padang Astaka Kemaman. Manakala sebahagian lagi dibawa pulang oleh pihak MPKK untuk diagihkan kepada penduduk di kawasan masing-masing.

Program tersebut turut menyediakan jamuan tengah hari dan pelbagai hadiah cabutan bertuah untuk semua peserta yang hadir.


Tag: