• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

400 Kaum Tiong Hua Kemaman Sambut Merdeka

KEMAMAN, 31 Ogos - Seramai 400 orang kaum Tiong Hua Kemaman menyatakan rasa cinta kepada negara dengan menyambut Hari Kebangsaan yang Ke-63 dalam satu Majlis Makan Malam yang berlangsung di Dewan Sri Amar, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat berkata dengan kehadiran yang ramai melibatkan 25 persatuan dan sebahagian lagi daripada anak muda Kaum Tiong Hua di Kemaman ini membuktikan sokongan mereka kepada kerajaan negeri yang memerintah ketika ini.

"Kita mengharapkan sempena kemerdekaan yang disambut pada malam ini menandakan jati diri kita dan keyakinan dalam menyokong dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan," ujarnya.

"Ia selari dengan ucapan yang sentiasa diungkapkan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dimana semua rakyat Terengganu tidak kira agama, bangsa ataupun berbeza ideologi politik akan dilayan dengan baik dan sama rata," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian dalam Majlis Makan Malam Sempena Sambutan Kemerdekaan Bersama Kaum Tiong Hua Kemaman.

Majlis tersebut merupakan anjuran oleh Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai dengan kerjasama Pejabat Daerah Kemaman, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Pejabat Penerangan Daerah Kemaman serta seluruh persatuan kaum Tiong Hua di Daerah Kemaman.

Turut bersama, Pegawai Khas (Hal Ehwal Bukan Islam) Menteri Besar Terengganu, Dr Balachandran Gopal Krishnan.


Tag: