KUALA TERENGGANU, 13 Ogos – Sebanyak 400 batang pokok terdiri daripada pokok rhu dan kelapa dwarf ditanam di kawasan Pantai Jalan KTCC menerusi Program Penanaman Pokok Bersama Agensi, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, program berkenaan merupakan sebahagian daripada sasaran Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) untuk menanam sebanyak 1,200 batang pokok di sepanjang kawasan Jalan Pantai, KTCC Utara sepanjang tahun ini.
Menurut beliau, usaha menghijaukan kawasan pantai itu bukan sahaja bertujuan memperindah landskap, malah memberi manfaat kepada alam sekitar dan keselesaan orang ramai.
“Penanaman pokok ini dapat membantu mengurangkan kesan haba, mengawal hakisan serta mewujudkan persekitaran pantai yang lebih nyaman dan selesa untuk masyarakat.
“Kerjasama pelbagai agensi amat penting dalam memastikan usaha penghijauan ini dapat dilaksanakan secara berterusan,” katanya dalam satu hantaran rasmi di laman Facebook beliau hari ini.
Wan Sukairi turut merakamkan penghargaan kepada PETRONAS, TDM Berhad, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan EDOTCO Group atas sumbangan serta komitmen dalam menjayakan program berkenaan.
Katanya, kerjasama strategik antara kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan sektor korporat itu membuktikan tanggungjawab bersama dalam memelihara alam sekitar serta memperindah kawasan bandar.
“MBKT akan terus mempergiatkan usaha penghijauan di kawasan pentadbiran bandar raya bagi memastikan Kuala Terengganu kekal sebagai bandar yang bersih, indah dan selesa untuk didiami serta dikunjungi,” katanya.