Berita :
40,000 Pemilik Skuter Gegarkan Terengganu
40,000 Pemilik Skuter Gegarkan Terengganu
Adli Mohamad
8 jam yang lepas
154

KUALA TERENGGANU, 10 Mei – Seramai 40,000 pemilik skuter membanjiri Dataran Shahbandar semalam sempena penganjuran Scooterian Mega Gathering (ISMG 4.0).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, penganjuran ISMG 4.0 merupakan antara acara berskala besar yang telah disenaraikan dalam Kalendar Acara Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu 2026.

Menurut beliau, program seumpama itu memberi nilai tambah besar kepada sektor pelancongan negeri, khususnya dalam memperkukuh momentum Tahun Melawat Malaysia 2026 serta persediaan menuju Tahun Melawat Terengganu 2027.

“Penganjuran program seperti ini amat signifikan dalam memperkukuh sektor pelancongan negeri, selari dengan momentum Tahun Melawat Malaysia 2026 dan persediaan menuju Tahun Melawat Terengganu 2027,” katanya ketika berucap merasmikan ISMG 4.0.

Razali berkata, program itu bukan sahaja menghimpunkan komuniti pemilik skuter dari pelbagai tempat, malah turut memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat.

Katanya, kehadiran peserta dan pengunjung memberi kesan langsung kepada sektor penginapan, makanan dan minuman, perusahaan kecil serta industri pelancongan tempatan.

“Hari ini Terengganu semakin dikenali sebagai antara hub permotoran utama di Malaysia.

“Pelbagai program permotoran berskala besar memilih Terengganu kerana negeri ini bukan sahaja mempunyai kemudahan yang sesuai, malah menawarkan panorama menarik kepada komuniti riders dan bikers,” katanya.

Beliau berkata, kelebihan Terengganu yang memiliki jajaran pantai sepanjang 244 kilometer dari Kemaman hingga Besut menjadikan negeri itu antara lokasi pilihan bagi penganjuran program permotoran dan konvoi berskala besar.

Menurutnya, laluan pesisir pantai Terengganu menawarkan pengalaman tunggangan yang indah, selain diserikan dengan keindahan laut, suasana kampung tradisional, makanan tempatan dan keramahan rakyat negeri itu.

“Keindahan laut, suasana kampung tradisional, makanan tempatan serta keramahan rakyat Terengganu menjadi tarikan tersendiri kepada pengunjung,” katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan