KUALA TERENGGANU, 29 Jun – Seramai 44 mahasiswa India Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menerima sumbangan komputer riba daripada Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA), Jabatan Perdana Menteri dalam satu Majlis Pengagihan Sumbangan Peranti di kampus universiti hari ini.
Sumbangan berjumlah RM116,512 itu melibatkan 44 unit komputer riba lengkap dengan beg, tetikus dan perisian antivirus bagi memperkukuh akses pembelajaran digital dalam kalangan pelajar.
Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Fadzli Adam berkata, inisiatif tersebut membuktikan komitmen MITRA dalam memastikan akses pendidikan lebih inklusif tanpa mengira latar belakang mahasiswa.
Menurutnya, bantuan itu bukan sekadar pemberian peranti, sebaliknya merupakan pelaburan strategik dalam pembangunan modal insan negara melalui pendidikan tinggi.
“UniSZA amat menghargai sumbangan ini kerana ia memperkukuh sinergi antara agensi kerajaan dan institusi pendidikan dalam memperluaskan akses pendidikan digital,” jelasnya dalam laman sosialnya hari ini.
Beliau turut mengingatkan para penerima agar menggunakan kemudahan tersebut secara optimum bagi tujuan akademik serta meningkatkan kemahiran digital sebagai persediaan menghadapi dunia pekerjaan.
Majlis berkenaan mencerminkan usaha berterusan kerajaan dan UniSZA dalam memperkasa pendidikan tinggi yang inklusif serta memperluas akses pembelajaran berkualiti kepada mahasiswa.
Tag :