DUNGUN, 30 November - 44 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di Daerah Dungun setakat jam 10.00 pagi tadi, berikutan banjir di beberapa kawasan dalam daerah ini.

Menurut kenyataan oleh Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Daerah (JPBD) Dungun semua PPS di Dungun kini menempatkan seramai 3,653 mangsa daripada 1,030 keluarga yang membabitkan  empat Dun terjejas iaitu Dun Bukit Besi, Rantau Abang, Sura dan Paka.

Hujan lebat dan agak kerap berlaku juga menyebabkan tiga sungai utama di Daerah Dungun ini naik mendadak semalam.

Setakat laporan pagi ini, air Sungai Pasir Raja menurun, kini mencatat 36.97 meter tahap normal.

Manakala Sungai Kuala Jengal dan Jambatan Jerangau paras air tahap bahaya kerana air sungai dari Pasir Raja menurun ke dua kawasan ini.

Semalam telah diadakan satu taklimat khas bersama Incident Commander Khidmat Malaysia Dungun (KHIDMAT), Wan Hassan Mohd Ramli, Khidmat Malaysia Kawasan Dungun, Jabatan Amal Kawasan Dungun, Pacuan 4x4 Dungun (PADAT) dan Sukarelawan Banjir Dun Bukit Besi yang diadakan di Bilik Gerakan Operasi Banjir Dun Bukit Besi.

Dalam taklimat tersebut, Wan Hassan yang juga merupakan Ahli Parlimen Dungun berkata orang ramai diingatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak bermain di kawasan banjir selain terus mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan.

"Insya-Allah jentera kami akan senantiasa memantau dan memberi khidmat tenaga bantu untuk mangsa banjir di Dungun. Doakan semoga kami dipermudahkan segala urusan," Ujarnya


Tag: