• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

442 Penerima DUN Ajil Ceria Terima Duit Raya

HULU TERENGGANU, 5 April - Seramai 442 asnaf di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil menerima bantuan berupa wang ringgit sempena program sumbangan Aidilfitri Asnaf DUN Ajil di sini semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata sumbangan tersebut bertujuan bagi membantu persediaan mereka bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri yang berbaki kurang seminggu lagi.

Beliau yang juga merupakan ADUN Ajil berkata, kerajaan memperuntukan sebanyak RM132,000 untuk diagihkan kepada masyarakat Ajil yang kurang bernasib baik pada kali ini.

“Pada tahun ini sebanyak RM300 duit raya diberikan kepada setiap penerima daripada syarikat korporat serta daripada sahabat-sahabat yang sudi menghulurkan bantuan.

"Memandangkan kewangan negeri terhad disebabkan royalti petroleum yang masih belum dilunaskan oleh persekutuan kepada negeri Terengganu menyebabkan banyak agenda bantuan dari pihak kerajaan negeri tertangguh," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika majlis berkenaan bertempat di Dewan Sivik Pekan Ajil di sini semalam.

Salah seorang penerima, Wan Aduni Abdullah, 60 melahirkan rasa terharu dan bersyukur atas sumbangan Aidilfitri itu.

"Bantuan itu akan dibelanjakan untuk membeli barangan dapur dan lain-lain kegunaan.

"Bantuan itu juga saya gunakan untuk perbelanjaan bagi menyambut Aidilfitri nanti," katanya.

Sementara itu, Wan Abdullah Dollah, 78, yang juga penerima terpilih berkata tidak ada apa yang mampu diluahkannya selain rasa syukur kepada Allah atas keprihatinan ADUN Ajil dalam membantu memudahkan urusan bantuan.

 “Alhamdulilah, terima kasih kepada mereka yang terlibat atas sumbangan Aidilfitri ini.

"Wang ini akan saya gunakan sebaiknya untuk membantu persediaan hari raya buat kami sekeluarga," ujarnya.


Seorang lagi penerima, Ahmad Sufian Wahid, 43, menyifatkan bantuan RM300 yang diterima sangat tepat pada waktunya ditambah pula dengan keadaan harga barang yang meningkat sekarang.

Baginya, ia jelas menunjukkan keprihatinan ADUN Ajil terhadap golongan asnaf yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

'"Terima kasih kepada ustaz kerana beri duit raya awal buat kami walaupun jumlahnya tidak seberapa, tapi dapatlah bantu ringankan beban saya buat persiapan Aidilfitri," ujarnya.