• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

459 Kanak-kanak Dirai Dalam Majlis Konvokesyen Kemas

Ahmad Razif bersama kanak-kanak yang diraikan sempena Majlis Konvokesyen Tabika Kemas peringkat DUN Seberang Takir yang diadakan di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, hari ini. Foto Oleh: Tengku Syamim Tengku Ismail

Seramai 459 orang kanak-kanak Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir melalui detik bersejarah hari ini bagi memulakan alam baharu kehidupan.

Kanak-kanak daripada 21 kelas di DUN itu telah diraikan dalam Majlis Konvokesyen Tabika Kemas peringkat DUN Seberang Takir yang diadakan di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus.

Mereka merupakan kumpulan pertama yang diraikan daripada 20,010 orang kanak-kanak Tabika Kemas dari 32 DUN yang akan bergraduasi tahun ini.


Majlis perasmian konvokesyen itu disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir.

Turut hadir, Pengarah Kemas Terengganu, Dr. Faridah Mat.

Ahmad Razif dalam ucapannya berkata, peranan guru dan ibu bapa amat penting dalam melahirkan modal insan berkualiti sejak dari awal.

“Kalau kita dapat mencorak mereka mulai sekarang, InsyaAllah suatu hari nanti mereka akan menjadi seorang individu yang berjaya,” ujarnya.

Katanya, majlis graduasi yang diadakan itu juga merupakan satu pengiktirafan kepada mereka.

“Dengan meraikan mereka melalui majlis graduasi seperti ini, ia secara tidak langsung memberi inspirasi kepada kanak-kanak untuk meneruskan pembelajaran ke peringkat yang lebih tinggi,” ujarnya.




Tag: