Jalur Gemilang
Berita :
50 Peserta Jayakan Tenggol Beach & Underwater Clean Up 2026
50 Peserta Jayakan Tenggol Beach & Underwater Clean Up 2026
Mohd Irsyadi Abu Bakar
1 jam yang lepas
28

Oleh: Che Wan Hanis 

DUNGUN, 11 September – Seramai 50 peserta menyertai Program Tenggol Beach and Underwater Clean Up 2026 di Pulau Tenggol, di sini, sebagai usaha bersama memelihara kebersihan pantai dan kelestarian ekosistem marin.

Program yang berlangsung pada 9 hingga 10 September 2026 itu turut mendapat sokongan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu merangkap ADUN Kijal, Dato’ Razali Idris, serta Pegawai Daerah/Pentadbir Tanah Dungun, Encik Fadli Yusof Zakaria.

Turut hadir, Ketua Penolong Pegawai Daerah Dungun, Puan Azilia Hani Abd Aziz; serta Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Raja Faisal Raja Haron.

Program berkenaan turut melibatkan wakil jabatan kerajaan, agensi keselamatan, syarikat swasta serta jawatankuasa pelaksana dan penaja program.

Peserta berkumpul di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Dungun pada jam 7 pagi sebelum bergerak menuju ke Pulau Tenggol dengan menggunakan enam buah bot bagi menjayakan aktiviti yang telah dirancang.

Antara pengisian utama program ialah aktiviti pembersihan pantai dan dasar laut, selain penurunan 10 unit karang buatan di perairan Pulau Tenggol.

Penempatan karang buatan berkenaan merupakan antara inisiatif pemuliharaan marin bagi menyediakan habitat baharu kepada hidupan laut serta membantu menyokong perkembangan ekosistem bawah air di kawasan tersebut.

Dalam pada itu, aktiviti pembersihan pantai dan dasar laut memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan sampah serta sisa yang berpotensi menjejaskan keindahan persekitaran dan mengancam kehidupan marin.

Pulau Tenggol sememangnya terkenal dengan keindahan pantai serta ekosistem bawah lautnya yang menjadi tarikan kepada peminat aktiviti selam skuba dan pelancongan berasaskan alam semula jadi.

Sehubungan itu, usaha menjaga kebersihan dan kelestarian perairan Pulau Tenggol perlu dilaksanakan secara berterusan dengan penglibatan semua pihak, khususnya komuniti setempat, penggiat industri pelancongan, agensi kerajaan dan masyarakat.

Program Tenggol Beach and Underwater Clean Up 2026 turut menjadi platform meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga kebersihan laut serta memelihara khazanah marin untuk manfaat generasi akan datang.

Usaha berkenaan bukan sahaja menyumbang kepada kelestarian alam sekitar, malah secara tidak langsung membantu memastikan Pulau Tenggol terus menjadi antara destinasi ekopelancongan utama di daerah Dungun dan Terengganu.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan