• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

500 Orang Pelajar Terima Beg Sekolah

Oleh : Ummi Kalthum Mamat

BESUT, 10 Mac – Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kota Putera telah menyampaikan sumbangan beg sekolah kepada 500 orang pelajar rakyat di daerah tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Mohd Noorkhuzaini  Abd Rahman berkata, ia adalah satu inisiatif bagi meringankan beban kewangan keluarga dan memastikan setiap pelajar memulakan tahun pelajaran dengan penuh keyakinan.

"Kami sangat bersyukur dapat menyumbangkan beg sekolah kepada pelajar-pelajar di Kota Putera. 

"Ini adalah satu usaha kecil kami untuk memberikan sokongan kepada keluarga yang mungkin menghadapi cabaran kewangan dalam memenuhi keperluan asas pendidikan anak-anak mereka," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program penyerahan sumbangan yang berlangsung di Kota Putera Square baru-baru ini.

Mohd Nurkhuzaini turut menekankan betapa pentingnya pendidikan dalam membentuk masa depan generasi akan datang.

"Saya turut menyatakan bahawa setiap sumbangan, sekecil mana pun, dapat membantu meningkatkan aksesibilitasi pendidikan," ujarnya.

Sementara itu, salah seorang penerima, Mohd Forsy Deraman berkata, beliau bersyukur sangat atas keprihatinan wakil rakyat yang sedikit sebanyak membantu rakyat meringankan beban ibu bapa.

"Walaupun hanya beg sekolah tapi ini cukup bermakna bagi kami yang kurang berkemampuan ini. Terima Kasih YB," katanya.

Beliau menambah, keberhasilan inisiatif ADUN Kota Putera dalam memberikan sumbangan kepada 500 pelajar tampak jelas melalui sorotan kegembiraan di wajah ibu bapa. 

"Ucapan terima kasih daripada mereka turut mencerminkan impak positif yang telah diterima oleh masyarakat," ujar beliau lagi.


Tag: