• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

500 Penduduk Jabi Selesai Disuntik Sinovac

SETIU, 4 Julai - Seramai 500 orang penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi menerima suntikan vaksinasi Sinovac bagi ikhtiar menangani virus Covid-19.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata walaupun kuota yang disediakan agak terhad namun ia diagihkan di setiap  Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

"Alhamdulillah, program berjalan dengan sempurna dan baik. Permintaan rakyat kita melebihi bekalan. Kita cuma diperuntukkan sebanyak 500 dos Sinovac sahaja untuk program hari ini.

"Saya agih agar setiap 37 kampung dalam DUN Jabi dapat bahagian masing-masing walaupun tak banyak. Tentunya ramai lagi yang hampa kerana jumlah 500 dos sebenarnya sangat terhad. Pengundi DUN Jabi sahaja kira-kira 20 ribu orang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program Suntikan Vaksin di Sekolah Kebangsaan Jabi, Jabi, semalam.

Sementara itu kata Dr Azman, sesi perbincangan  bersama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu akan diadakan untuk mendapatkan lagi peruntukan sejumlah dos bagi mengadakan lagi program seperti itu.

"Dapat saja bekalan vaksin, kita jalan terus. Tak perlu lagi kempen jom vaksin sebab rakyat kita memang nak vaksin. Isunya bekalan vaksin sahaja.

"Penghargaan kami atas kerjasama yang terpuji dari Pejabat Kesihatan Daerah Besut, Pejabat Pendidikan Daerah Besut, Pejabat Daerah Besut, Guru Besar dan warga Sekolah Kebangsaan Jabi, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Jabi, Unit Amal Jabi dan Ameerah Dun Jabi.

"Tidak lupa juga kepada Angkatan Pertahanan Awam, Penghulu Mukim, JPKK, para sukarelawan serta semua yang terlibat," jelasnya.