• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

5,000 Pengakap Kanak-kanak Berkampung Di Terengganu 6 - 10 Julai



Seramai 5,000 peserta Korobori Pengakap Kanak-kanak dari seluruh Malaysia dijadualkan berkampung di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Kuala Nerus bermula 6 Julai sehingga 10 Julai ini.

Korobori merupakan perhimpunan pengakap kanak-kanak terbesar peringkat kebangsaan dengan tahun ini, Persatuan Pengakap Malaysia Negeri Terengganu dipilih menjadi tuan rumah bagi acara itu.

Pelbagai aktiviti menarik bakal berlangsung antaranya aktiviti lasak, kebudayaan dan sukan.

Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri, Che Soh Muda berkata, program pengakap yang berteraskan pembangunan jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial dapat memberi kesan mendalam kepada ahli untuk menjadi warganegara yang berkualiti dan cintakan tanah air.

"Program- program ini dimulakan dari sekolah rendah untuk membentuk jati diri pelajar," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Pengakap Negeri Terengganu, Tan Sri Dato' Abdullah Taib menyifatkan Persekutuan Pengakap Negeri Terengganu berpengalaman dan berupaya menganjurkan pelbagai program besar di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

"Keupayaan kami setanding dengan fasiliti yang ada di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail yang bertaraf antarabangsa,'katanya.


Tag: