• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

518 Peniaga Pasar Payang Sertai Taklimat Sebelum Berpindah

KUALA TERENGGANU, 15 Mei - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menghimpunkan 518 orang peniaga di Pasar Payang untuk sesi penerangan serta pembentangan mengenai susunan kedai serta hal-hal melibatkan Pasar Payang 1 sebelum berpindah lokasi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata penerangan tersebut dibentangkan oleh Datuk Bandar Kuala Terengganu, Dato' Rosli Latif bagi membangkitkan kefahaman yang jelas kepada para peniaga. 

“Saya turut memberi pesanan tanda ingatan kepada para peniaga dengan menegaskan keperluan untuk mendisplinkan diri dari sudut kebersihan dan menjaga nama baik Pasar Payang. 

“Mereka ini bukan sekadar peniaga, bahkan secara langsung juga adalah sebagai duta pelancongan kepada negeri Terengganu,” katanya dalam satu pertemuan bertempat di MBKT semalam.

Wan Sukairi berharap agar proses pengundian lot kedai di Kompleks Pasar Kedai Payang berjalan lancar.

Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming bersama Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyaksikan penyerahan projek berkenaan antara Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Dato' Rosli Latif.

Ahmad Samsuri memaklumkan ketika majlis penyerahan tersebut bahawa pembinaan projek itu melibatkan peruntukan sebanyak RM70.03 juta.

Katanya, kos bagi perunding projek telah ditanggung oleh Kerajaan Negeri Terengganu.

"Kerja-kerja pembinaan Pasar Payang 1 dua tingkat ini menempatkan 412 lot kedai, 369 petak jualan, tandas, tandas OKU, eskalator, lif, surau, jam besar, infrastruktur seperti jalan masuk, tempat letak kenderaan, lampu jalan serta landskap," ujarnya.

 


Tag: