• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

531 Penerima Syukur Urusan Mohon Tanah Mudah, Cepat

MARANG, 20 Oktober- Seramai 531 penduduk dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang menzahirkan syukur apabila urusan mereka untuk memiliki tanah dan lot kediaman diselesaikan dengan segera.

Mereka menerima surat hak milik tanah dan notis 5A bagi Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) dalam daerah Marang, hari ini.

Salah seorang penerima notis 5A dari Kg Gong Nangka, Syukri Mohd Taib, 39, berterima kasih dengan pelaksanaan yang cepat dan baik daripada kerajaan negeri.

"Kalau hendak beli terus, kita tidak mampu. Sepanjang beliau (Menteri Besar) tadbir, beliau banyak menyelesaikan masalah. 

"Walaupun kita dengar ada orang-orang cerita itu ini di belakang, tetapi beliau berusaha betul-betul untuk selesaikan hal rakyat.

"Berbanding dulu, pada tahun-tahun belakang ini, proses lebih mudah. Sebenarnya, saya pun tidak memohon secara terus tetapi JPKK melakukan siasatan dan membuatkan permohonan untuk saya.

"Saya dengar ramai yang risau jika tidak dapat dilaksanakan sebelum mengundi kerana mungkin tidak akan dapat, tetapi alhamdulillah dapat diselesaikan dan diserahkan sebelum mengundi (Pilihan Raya Umum)," katanya.

Tambah tukang gunting rambut itu, beliau akan berusaha menjelaskan premium tanah sekitar RM4,000 untuk membolehkan memiliki dan membina kediaman kekal.

Hal ini turut diakui pemuda Kg. Gong Nangka, Muhammad Syafie Mad Muda, 30, kerana hasratnya untuk membina rumah sendiri sejak berkahwin pada usia 22 tahun kini tercapai.

"Kepada Dato' Seri Menteri Besar, terima kasih sebeb pemberian tanah kepada yang memerlukan, untuk kami membina keluarga, anak-anak. 

"Sebelum ini, tiga empat kali permohonan ditolak, jadi sekarang urusan yang cepat begini adalah usaha bagus kerajaan negeri," katanya.

Sementara itu, Juliana Ismail, 43, yang menetap di Kg. Alur Tuman berasa terkejut apabila dipilih menerima surat hak milik tanah.

"Saya terharu dan bangga dengan usaha yang dilaksanakan kerajaan negeri, kali ini cuma sekali saya mohon.

"Sebelum ini, 12 tahun sebagai ibu tunggal beberapa kali permohonan saya ditolak. Jadi, saya sudah tidak berharap dan cuma membuat permohonan seperti biasa pada dua tiga tahun lalu.

"Alhamdulillah, ini rezeki saya dan anak-anak. Sudah lama kami menyewa iaitu sekitar 15 tahun, saya memang hendak usaha buat rumah di sini untuk kediaman dan anak-anak," katanya.

Dalam program yanb diadakan di Dewan Majli Daerah Marang itu, sebahagian mereka turut hadir mencabut undi lot tanah melibatkan enam RTB iaitu Kampung(Kg) Alor Tuman, Gong Nangka, Bukit Cempedak, Gong Cempedak, Baruh Mak Abu dan Kg. Batu Putih fasa II.

Majlis disempurnakan Menteri Besar Terengganu yang merupakan ahli dewan undangan negeri ADUN Rhu Rendang, Dato'Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.


Tag: