• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

60 Kanak-Kanak Seberang Takir Khatan Percuma

KUALA NERUS, 21 Februari - Bersempena musim cuti sekolah, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Seberang Takir sekali lagi mengambil langkah mempermudahkan urusan syariat dengan mengadakan Program Khatan Percuma buat kanak-kanak di kawasan itu.

Seramai 60 kanak-kanak yang layak diraikan dalam satu majlis yang diadakan di Pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Seberang Takir.

Para peserta terlebih dahulu dimandikan beramai-ramai dengan semburan air oleh pihak BOMBA bagi meredakan ketakutan di samping mengembirakan kanak-kanak yang terlibat dengan program ini.

Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab berkata, program tersebut diadakan bagi mengurangkan beban kewangan para penjaga yang kurang berkemampuan.

"Kita dimaklumkan, kos berkhatan pada masa kini semakin meningkat kebelakangan ini sehingga ia membebani bagi segelintir ibu-bapa. Alhamdulillah, dengan kerjasama Pusat Khidmat kita buat lagi pada kali ini.

"Selama dua tahun berturut-turut kita adakan program di klinik kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kali ini kita kembali buat terbuka dengan mengekalkan elemen tradisi seperti tahun-tahun sebelumnya,” ujarnya ketika dihubungi Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini

Sementara itu, ibu salah seorang peserta, Norbaizura Zainal Abidin, 42, bersyukur dengan program berkenaan berikutan kos berkhatan turut mengalami kenaikan pada masa kini.

"Alhamdullilah dengan urusan perkhidmatan baik dijalankan pusat khidmat serta sambutan yang begitu meriah mengembalikan nostalgia masyarakat kita," jelasnya.

Turut senada, Mohd Rizaman Mohd Sukri sempat mengambil peluang menyertakan anaknya walaupun beberapa pihak juga melakukan program yang sama.

"Acara ini juga memberikan satu pengalaman baru kepada saya dan perasaan bimbang akan anaknya menangis hilang apabila melihat ramai ibu bapa penjaga bersama anak masing-masing.

"Berbezanya disini kerana ada aktiviti tradisi, meriah tak dapat di tempat lain," katanya lagi

 


Tag: