• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

600 Nelayan Terima Bantuan di Kemaman

KEMAMAN, 2 Mac – Seramai 600 Nelayan di daerah Kemaman menerima bantuan berupa wang tunai dan barangan keperluan asas oleh kerajaan negeri bagi membantu serta meringankan beban mereka.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata bantuan tersebut disumbangkan oleh anak syarikat kerajaan negeri yang terdiri daripada EPIC Berhad, Ladang Rakyat, Syarikat Air Terengganu (SATU), Koridor Utiliti Teknologi Terengganu (KUTT).

Katanya, kesemua 600 nelayan tersebut terdiri daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Chukai dan Kemasik.

“Negeri Terengganu dan nelayan tidak dapat dipisahkan dan ianya telah menjadi sinonim sejak berabad yang lalu berikutan faktor geografi negeri kita yang terletak di pesisiran pantai. 

“Pihak kerajaan akan terus memberikan perhatian kepada kebajikan para nelayan di negeri ini, kita juga sentiasa berusaha menangani dan menyelesaikan segala permasalahan yang timbul dengan sedaya upaya kita,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Santuni Nelayan Pantai Daerah Kemaman di Kompleks Paya Lasir, Bandar Baru Kijal, Kemaman di sini semalam.

Tambah Ahli Parlimen Kemaman itu, sejak 2018 yang lalu, apabila PAS mengambil alih kerajaan, pelbagai usaha telah dilakukan di bawah bidang kuasa Exco Pertanian Negeri melalui sektor perikanan khusus kepada para nelayan di negeri Terengganu.

Antaranya jelas beliau, kerajaan menyelesaikan pemberian 600 lesen sampan nelayan yang merupakan isu yang tidak berkesudahan selama lebih 40 tahun yang lalu.

“Termasuklah juga fokus kepada memperkayakan sumber perikanan dengan melabuhkan unjam dan tukun di tempat-tempat strategik di laut Negeri Terengganu. 

“Usaha ini membuahkan hasil apabila Terengganu mencatatkan jumlah pendaratan ikan bernilai RM237.8 juta tahun lalu.

"Sebanyak 46.7 tan metrik tangkapan direkodkan tahun 2023 berbanding hanya kira-kira 33.5 tan metrik pada 2022,” ujarnya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: