• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

62 Acara Disenarai Dalam Kalendar Pelancongan 2024

KUALA TERENGGANU, 20 Januari - Sebanyak 62 acara pelancongan dan kebudayaan yang meliputi seluruh segmentasi pelancongan disenaraikan dalam Kalendar Pelancongan dan Kebudayaan Negeri (COE 2024) di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata penyenaraian COE 2024 itu telah mengambil kira semua elemen, antaranya kekuatan dan impak penganjuran acara tersebut dalam usaha menarik minat pengunjung malah sumbangan terhadap sosio ekonomi rakyat negeri.

"Ia turut mengandungi 12 acara ikonik dan setiap acara yang dibuat akan menampilkan keunikannya tersendiri.

"Budaya dan warisan menjadi antara lima kluster utama pelancongan yang diberi fokus oleh Terengganu sebagai usaha mempromosikan sektor pelancongan negeri," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Pelancaran Kalendar Pelancongan dan Kebudayaan Negeri (COE 2024) di KTCC Mall, di sini hari ini.

Antara acara ikonik lain yang akan berlangsung di Terengganu adalah Karnival Beautiful Terengganu (23-24 Februari), Pelita Raya Terengganu (19-23 Mac), Jaguh Ngail Terengganu (April), Festival Candat Sotong (18-19 Mei), Kenyir Geopark Eco-Fest (29 Mei- 1 Jun) Terengganu International Bike Week (28-30 Jun), Karnival Pantai Terengganu (Ogos), Kejohanan Tour Gateh D'Tranung (September), Kejohanan Kuda Lasak Piala Sultan Mizan (24-27 Oktober), 4x4 Rainforest Challenge.

Tambah Razali, Senandung Terengganu, Gema Gemalai Gamelan Melayu membuka tirai acara COE 2024 dan turut disenaraikan sebagai acara utama dalam 12 acara ikonik yang akan diadakan sepanjang tahun itu.

Berlangsung selama dua hari, program yang diadakan di KTCC Mall bermula 19 Januari hingga 20 Januari 2024 itu mendapat kerjasarna daripada pelbagai pihak, termasuk Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Perikanan Negeri, Universiti Malaysia Terengganu, Jabatan Keseniaan dan Kebudayaan Negeri, Lembaga Muzium Negeri, dan pelbagai agensi lain.

Pelbagai pengisian program seperti permainan rakyat, pertandingan mewarna, klinik gamelan, pameran kostum gamelan, program penggalakan penyu Terengganu, demonstrasi kebudayaan, persembahan flash mob gamelan, persembahan kertuk ulu, dikir hulu dan banyak lagi disajikan kepada pengunjung.

 


 


Tag: