• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

65 Mangsa Banjir Kampung Shukor Terima Sumbangan

DUNGUN, 1 Februari- Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin, melalui Tabung Bencana Banjir DUN Sura menyerahkan sumbangan set kelengkapan memasak kepada 65 buah keluarga mangsa banjir di Kampung Shukor, di sini semalam.

Dr. Fakhruddin berkata, jenis sumbangan yang disampaikan berdasarkan maklum balas daripada mangsa banjir berkenaan keperluan yang diperlukan dalam masa terdekat.

"Sumbangan ini terdiri daripada periuk elektrik, dapur gas, dan juga minyak masak memandangkan ada sesetengah rumah yang sudahpun selesai dibersihkan dan mereka boleh memasak sendiri di rumah.

"Untuk pengetahuan, sumbangan ini merupakan hasil daripada Tabung Bencana yang dilancarkan di peringkat DUN Sura baru-baru ini dan kami di peringkat DUN Sura komited untuk meneruskan misi bantuan banjir ini," katanya sewaktu ditemui pemberita usai menyerahkan sumbangan di Dewan Serbaguna Kampung Shukor.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada individu, agensi dan badan bukan kerajaan yang menyumbang dalam misi ini dan menyeru sumbangan dapat terus diagihkan bagi membantu penduduk yang terjejas disini. 

"Kalau tidak mampu menyumbang tenaga datang membersihkan kawasan ini, sekurang-kurangnya bantulah dengan wang atau peralatan-peralatan asas kepada mangsa banjir ini memandangkan ada sesetengah mangsa yang tinggal sehelai sepinggang akibat rumahnya dihanyut banjir dan ribuan terima kasih saya ucapkan kepada semua penyumbang dalam misi kali ini," katanya.

Turut hadir bersama menyerahkan sumbangan mantan ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik.


Tag: