70 Calon Cemerlang SPM, STAM DUN Rantau Abang Dirai

DUNGUN, 27 Jun – Seramai 70 orang pelajar di DUN Rantau Abang yang memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2022 telah diraikan dalam satu majlis yang diadakan di Dungun Escapade Resort di Pulau Serai, di sini.

Kesemua calon cemerlang SPM dan STAM itu menerima hadiah berupa wang tunai yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun dan isteri, Rugayah Mahmood. 

Alias dalam ucapannya mengharapkan para pelajar menanam azam untuk meneruskan pelajaran ke peringkat tertinggi demi mencipta lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

"Sekarang ramai yang tidak mahu menyambung pelajaran mereka, sedangkan di usia remaja ini kita perlu gunakan peluang yang ada untuk belajar seberapa tinggi, untuk masa depan," katanya. 

Sementara itu, salah seorang pelajar cemerlang SPM 2022 yang memperoleh 12A mengakui, setiap orang berhak berjaya tetapi mestilah berusaha untuk memperolehinya. 

Nur Arisyah Syafiqah Mohd Zain, 18, berkata, tiada alasan terlambat berusaha untuk mencapai kejayaan dalam SPM selagi belum tiba hari peperiksaan.

"Berusahalah disamping jaga hubungan kita dengan Allah dan kedua ibubapa, solat awal waktu, banyakkan selawat dan  sentiasa 'call' ibu atau ayah minta ampun serta doa dan restu dari mereka, " kata bekas pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu itu.

Manakala rakan sekolahnya juga berjaya mendapat keputusan yang sama, Nur Arifah Mohd Sabri,18, merakamkan ucapan terima kasih kepada guru-guru yang sentiasa ada ketika diperlukan. 

"Selain mengadakan kelas tambahan, mereka juga meluangkan masa untuk kami bertanya apa yang tidak difahami walaupun di luar masa sesi persekolahan," katanya yang bercita-cita untuk menjadi akauntan.
 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

A


Tag: