• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

73 Pelajar DUN Manir Terima Anugerah

HULU TERENGGANU, 11 Julai - Seramai 73 pelajar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir yang cemerlang bidang akademik juga agama tahun lalu menerima anugerah kecemerlangan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Manir, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Ustaz Hilmi Dato' Harun berkata ia selari dengan kehendak kerajaan negeri yang mengutamakan modal insan seperti pelajar cemerlang dan sangat komited untuk membantu meningkatkan akademik pelajar yang mempunyai pelbagai potensi untuk diketengahkan.

“Agama Islam sentiasa memuliakan dan meninggikan kedudukan orang yang berilmu dan ilmu merupakan anugerah Allah SWT yang  sangat bernilai bahkan tidak mampu dibayar dengan wang ringgit.

“Bertambah beruntung andai kita menjalankan amanah itu dengan penuh ikhlas dan tawakal kepada Allah SWT," katanya.

Beliau berkata demikian ketika selesai menyempurnakan agihan Anugerah Kecemerlangan hampir ke kediaman semua pelajar cemerlang di dalam DUN Manir.

Dalam pada itu, Ustaz Hilmi turut melahirkan rasa gembira dapat bertemu mata dan bertanya khabar bersama-sama pelajar dan ibu bapa disamping memberi pengiktirafan cenderahati kepada mereka yang telah berjaya. 

Sementara itu, pelajar-pelajar yang diraikan kali ini merupakan mereka yang berjaya dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Syahadah Thanawi , Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Tahfiz 30 juzuk.