• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

76 Keluarga Mangsa Banjir Terima Sumbangan

HULU TERENGGANU, 21 Januari – Nasib mangsa banjir di daerah ini terus mendapat perhatian daripada luar membabitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Syarikat Swasta bagi meringankan kesukaran mereka berdepan kehilangan dan kerosakan harta benda.

Syarikat AHT Norlan United & Carriage Sdn. Bhd turut tidak ketinggalan membantu mangsa banjir di negeri ini dengan memberikan sumbangan 76 pek makanan di beberapa buah Kampung di Hulu Terengganu di sini semalam.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata, sumbangan itu menunjukkan keprihatinan pihak luar dan merupakan tanggungjawab sosial untuk membantu golongan yang terjejas akibat banjir melalui bantuan makanan.

 “Kerjasama erat dengan pihak badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta, seperti itu dapat dijalankan dengan jayanya. Kepedulian dan keprihatinan dalam melaksanakan tanggungjawab sosial ini sangat terpuji dan saya amat hargai.


“Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang menyumbang dan badan korporat yang tampil memberikan sumbangan bagi meringankan beban mangsa banjir di seluruh Malaysia.Semoga kerjasama ini wajar menjadi titik permulaan untuk berganding bahu dan meneruskan inisiatif projek-projek bantuan kemanusiaan kepada mangsa banjir di masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian sumbangan tersebut di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Pengkalan Ajal, semalam.


Sementara itu, Penyelia Norlan United Terengganu State Road Care Daerah Hulu Terengganu, Mohd Fauzi Ramli berkata, beliau berharap sumbangan tersebut dapat membantu meringankan mangsa banjir.

"Atas dasar kemanusiaan. ia telah menggamit perhatian pihak kami untuk turut sama menghulurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan." katanya.