• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

80 JPKK Daerah Setiu Terima Watikah Pelantikan

SETIU, 17 Januari - Sebanyak 80 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Daerah Setiu menerima watikah perlantikan bagi sesi 2023/2024, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, pelantikan itu turut dilaksanakan di seluruh negeri Terengganu melibatkan 1,050 JPKK. 

"Hari ini, kita menjadi sebahagian daripada itu dalam memikul amanah dan tanggungjawab kepimpinan di peringkat komuniti.

"Setiap masalah yang timbul mesti ada puncanya dan bagi menyelesaikan masalah tersebut, duduklah berbincang untuk sama-sama mencari puncanya.

"Amalkan setiap apa yang nak dibuat adakan mesyuarat dan daripada itu kita akan dapat bekerja dengan sebaiknya,"jelasnya ketika ucapan perasmian di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Setiu, Sungai Tarom semalam.

Turut hadir, Pegawai Daerah Setiu, Ahmad Rizal Mamat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri dan Langkap, Yusop Majid dan Azmi Maarof.

Terdahulu, taklimat berkenaan Pengkalan Data Utama (PADU) disampaikan oleh wakil Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Terengganu, wakil Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Lembaga Tabung Haji (TH).