Jalur Gemilang
Berita :
12 Pasukan Berentap Rebut Gelaran Raja Sungai Nerus
12 Pasukan Berentap Rebut Gelaran Raja Sungai Nerus
Mohd Haniff Abas
4 jam yang lepas
69

KUALA TERENGGANU, 2 Oktober – Tradisi lumba perahu panjang yang diwarisi sejak era 1970-an terus disemarakkan menerusi penganjuran Festival Perahu Panjang Tradisional Raja Sungai Nerus 2026 yang berlangsung di Sungai Nerus, Kampung Tanjung Sabtu, di sini hari ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading,Ustaz Ridzuan Hashim berkata, festival tahunan itu bukan sekadar medan persaingan untuk mencari juara semata-mata, sebaliknya menjadi wadah penting dalam memelihara warisan nenek moyang serta memperkukuhkan ukhuwah masyarakat setempat.

"Penganjuran festival seumpama ini bukanlah semata-mata pertandingan untuk mencari siapa yang menang, tetapi lebih daripada itu, ia adalah satu platform untuk mengeratkan lagi silaturrahim antara sesama kita, menyatukan komuniti dan memperkukuhkan identiti Terengganu.

"Tradisi perahu panjang ini merupakan satu warisan turun-temurun sejak tahun 70-an lagi yang perlu kita terus pelihara dan hidupkan. Terbukti penganjuran sebegini berjaya menghimpunkan segenap lapisan masyarakat merentas usia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Festival Perahu Panjang Tradisional Raja Sungai Nerus 2026 di sini, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Ahmad Azizi Zulkifli, Ketua Penolong Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Che Wan Mohd Zulkifli Che Wan Jalil, Penolong Kanan Pegawai Daerah (Pembangunan Masyarakat), Wan Nor Hidayatul Hanis Zulkifli serta Pengerusi Pertubuhan Pencinta Sungai Nerus (PENERUS) merangkap Pengarah Program dan Pengerusi JPKK Kampung Tanjung Sabtu, Ustaz Md Fauzi Mustafa.

Mengulas lanjut, Ridzuan turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu serta badan bukan kerajaan (NGO) PENERUS atas inisiatif memastikan keindahan serta keselamatan Sungai Nerus sentiasa terpelihara untuk manfaat komuniti pesisir.

Festival edisi kali ini menyaksikan persaingan sengit melibatkan agensi kerajaan dan kategori jemputan komuniti. Antara pasukan agensi yang mengambil bahagian termasuklah Halilintar Kuala Terengganu (Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu), Fire Dragon (Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Terengganu), Squirrel Luala Nerus (Balai Bomba Kuala Nerus) , The Gators (PDRM Terengganu), Naga Sakti (Yayasan Terengganu) dan Satu Rowers Club (Syarikat Air Terengganu).

Manakala bagi kategori jemputan pula menampilkan kehebatan pendayung daripada pasukan Kg Tuan Mandak, Kg Petai Bubus, Kg Tanjung Sabtu, Kg Jeram Manir, serta Jeram Kuala Nerus (Pasukan A dan B).

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua peserta agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan dan mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi sepanjang pertandingan berlangsung.

"Menang atau kalah adalah lumrah dan adat bertanding. Namun, perpaduan, persahabatan serta semangat memelihara warisan perahu panjang itulah kemenangan bersama kita yang sebenar," tambah beliau.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan