BESUT, 25 Mac – Seramai 8,000 pengunjung membanjiri Sambutan Aidilfitri DUN Kuala Besut yang berlangsung meriah dengan penekanan kepada perpaduan tanpa mengira parti dalam suasana penuh muhibah, harmoni dan semangat kekeluargaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh berkata, majlis tersebut bukan sahaja berjaya menghimpunkan masyarakat setempat, malah menjadi platform penting dalam mengeratkan hubungan silaturahim antara rakyat pelbagai latar belakang.
“Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan dan kita berpuas hati dengan kehadiran serta kerjasama semua pihak.
"Pelbagai juadah tradisional disediakan termasuk gulai lembu sebanyak 10 kawah, nasi dagang, ketupat, lemang, mi kari dan lain-lain,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media di Majlis Hari Raya peringkat DUN, di perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Kuala Besut, semalam.

Azbi menegaskan bahawa pendekatan kepimpinan di Kuala Besut tidak membezakan rakyat berdasarkan fahaman politik, sebaliknya mengutamakan keadilan dan kebajikan untuk semua.
“Kita tidak kira warna parti, sama ada hijau, biru, merah atau lain-lain. Selepas pilihan raya, tanggungjawab kita adalah menjaga kebajikan semua rakyat secara adil,” ujarnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuk jabatan kerajaan, pasukan keselamatan seperti polis dan bomba, dan kepimpinan akar umbi seperti Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Muslimat, Pemuda dan Ameerah yang bersama-sama menjayakan program tersebut.
Selain itu, beliau memaklumkan bahawa pendekatan turun padang dan ziarah rakyat akan terus diperkukuh bagi memastikan setiap lapisan masyarakat, khususnya golongan yang memerlukan, tidak terpinggir daripada menerima bantuan dan perhatian sewajarnya.
Katanya, pihaknya sentiasa komited untuk berlaku adil kepada semua rakyat sebagaimana amanah yang dipikul, tanpa memilih latar belakang mahupun fahaman politik.
“Ini adalah tanggungjawab yang telah kita janjikan, bukan sahaja kepada rakyat tetapi juga sebagai amanah kepada Allah SWT untuk berlaku adil kepada semua,” katanya lagi.
Justeru itu, beliau berharap sambutan seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai platform menyuburkan nilai kebersamaan, selain memperkukuh hubungan antara pemimpin dan rakyat di peringkat akar umbi.
"Program sambutan Hari Raya peringkat DUN dibuat saban tahun semenjak parti yang menerajui sekarang ini bermula tahun 2018," tambah beliau.
Tag :