• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

81 Penerima Fasa Pertama Geran RTB Pinang Merah

DUNGUN, 26 Mac – Seramai 81 orang peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) yang terkilan menerima geran RTB Pinang Merah.
 
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, mereka terdiri daripada 41 peserta dari RTB terkilan Cherong Melintang dan 40 orang peserta dari RTB terkilan Beril.
 
“Ini merupakan program pertama yang melibatkan pemberian geran bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka dan baki-baki yang tinggal tu kita akan selesaikan sedikit demi sedikit dengan segera,” katanya.
 
Jelasnya, perkara ini melalui proses secara berperingkat dan ramai peserta kerana ia melibatkan empat DUN iaitu di DUN Paka, DUN Sura, DUN Rantau Abang dan DUN Bukit Besi. 
 
“Proses untuk bagi mengeluarkan sekeping geran terpaksa melalui banyak proses sebelum diserahkan kepada peserta.
 
“Tetapi beruntunglah bagi mereka yang tergolong peserta terkilan ini kerana termasuk di dalam keputusan khas kerajaan negeri yang dikatogerikan peserta terkilan 1999 – 2004, maka proses tidak begitu panjang,” jelasnya lagi.


 
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Geran RTB Tanah Terkilan DUN Paka.
 
Katanya, walaupun kerajaan tidak boleh membantu secara terus kerugian mereka yang dihadapi pada 20 tahun yang lalu, tetapi mereka sudah menerima kembali hak tanah pada masa sekarang dengan bayaran premium mengikut harga semasa pada 20 tahun yang lalu.
 
“Banyak duit mereka dihabiskan pada 20 tahun lalu tetapi hasilnya tidak ada.
 
“Jadi kita berbincang dengan kerajaan untuk mengekalkan bayaran premium tanah mengikut harga semasa dahulu iaitu dalah sekitar RM1100 lebih sahaja,” tegasnya.

Sehubungan dengan itu, beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, mengingatkan agar mereka yang telah menerima geran ini, dapat bekerjasama bersama untuk membersih kawasan, ukur batu lot dan sebagainya.
 
“Kita taknak orang yang terima geran tetapi kawasan lotnya tidak terurus dan akhirnya naik semak kembali,”
 
“Sebab itu diingatkan agar mereka perlu menubuhkan jawatankuasa dan berpakat sesama mereka agar dapat sama rata,” ujanya.

 

 

 

 

 

 


Tag: